Monday 11 March 2013

Penduduk nekad tinggalkan Kg Tg Labian

Bimbang dengan keselamatan diri dan keluarga, sebilangan penduduk Kampung Tanjung Labian, yang diceroboh kumpulan bersenjata dari Sulu, dilihat nekad meninggalkan kediaman masing-masing.

Gerakan kumpulan militan yang dipercayai masih berada di kawasan itu merisaukan penduduk yang khuatir akan menjadi sasaran, terutama selepas mereka terdengar beberapa das tembakan dilepaskan berhampiran kampung itu.


Tinjauan Bernama bersama beberapa petugas media lain ke kampung itu hari ini mendapati jalan masuk lengang manakala beberapa rumah sekitarnya seperti terbiar, malah ada yang tidak berkunci.

Turut ditemui sekumpulan 30 penduduk yang dalam perjalanan keluar dari kampung berkenaan untuk mencari perlindungan di kawasan lebih selamat, termasuk di lokasi penempatan sementara yang disediakan.

Noraina Patah, 29, berkata beliau sekeluarga nekad keluar dari kampung itu demi keselamatan walaupun terpaksa meninggalkan beberapa barangan penting.

"Saya amat cemas bila terdengar bunyi beberapa das tembakan hari ini, dan kerana bimbang dengan keselamatan, kami sekeluarga nekad meninggalkan kampung secepat yang mungkin," katanya yang menaiki motor bersama suami, Mohamad Razak, 30, dan anak perempuan berusia tiga tahun.

Seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Jol, 25, juga mengambil keputusan sama apabila membawa keluarganya dalam sebuah kereta Kancil.

"Saya amat takut, sebab itu saya cepat-cepat larikan diri. Saya belum tahu mahu ke mana lagi, mungkin ke dewan orang ramai," katanya yang enggan memberhentikan kenderaan lebih lama.

Lebih menyedihkan apabila ada penduduk tidak memiliki kenderaan dilihat terpaksa berjalan kaki malah ada yang membawa anggota keluarga yang kurang upaya menggunakan kereta sorong.

Acar Jalil, 21, pula berkata masih ada segelintir penduduk yang tidak meninggalkan kampung itu kerana faktor kesihatan.

"Ada yang masih tertinggal bang... saya tidak berani menolong mereka yang lain kerana saya perlu menyelamatkan nyawa keluarga saya dahulu. Yang tidak dapat keluar lagi sebab ada antara mereka yang sakit dan tiada kenderaan," katanya.

Jasimin Abdul Samad, 35, pula berkata beliau yang datang dari arah Embara Budi masih tidak tahu sama ada hendak masuk atau menunggu sahaja keluarganya di luar kawasan operasi memandangkan Kampung Tanjung Labian telah diisytihar sebagai zon merah.

"Saya masih keliru kerana saya juga tidak yakin untuk masuk ke sana mengambil keluarga saya. Saya minta pendapat kamu semua boleh atau tidak saya masuk?" katanya yang kelihatan cemas, sambil memohon petugas media memberi semangat kepadanya.

Raut wajah yang sedih dan gusar nyata menggambarkan keadaan Jasimin yang tidak keruan malah dia dilihat berapa kali mundar-mandir di sekitar pos kawalan keselamatan.

Pasukan keselamatan melancarkan Op Daulat di kawasan sekitar Lahad Datu berikutan insiden pencerobohan kumpulan militan bersenjata dari Selatan Filipina, yang berlarutan sejak 12 Feb lepas.

- Bernama




PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP