Friday 26 April 2013

Anwar Layak Jadi PM - Kangkung Belaan Umno Sanggah kajian Umcedel

KUALA LUMPUR - Kaji selidik Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) kononnya Datuk Seri Anwar Ibrahim calon popular untuk menjadi perdana menteri, tidak menggambarkan aspirasi keseluruhan rakyat dan pengundi.

Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Profesor Dr Azmi Hassan menegaskan hasil kaji selidik itu tidak mewakili aspirasi 28 juta rakyat negara ini serta 13.2 juta pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) 5 Mei ini.

"Kalau berdasarkan jumlah pengundi yang layak mengundi pada PRU13 ini, kaji selidik itu terlalu kecil kerana responden hanya 0.010 peratus daripada jumlah pengundi," katanya ketika dihubungi Bernama.


Kaji selidik itu yang dilaporkan beberapa portal berita, hanya melibatkan 1,407 responden sahaja berbanding lebih 13 juta pengundi.

Kaji selidik itu tidak menyatakan kaedah kaji selidik, profil responden serta lokasi kaji selidik. Sambil menegaskan hasil kaji selidik itu tidak logik dan rakyat tidak harus mempercayainya, Dr Azmi menarik perhatian pergolakan dalam pembangkang sendiri jelas mencerminkan ia tidak layak menjadi pemerintah.

Sentimen Dr Azmi turut dikongsi Penyandang Kursi Pengajian Tun Abdul Ghafar Baba, Universiti Pendidikan Sultan Idris Prof Datuk Dr Zainal Kling yang berkata kaji selidik itu tidak sekali-kali melambangkan pandangan keseluruhan rakyat mahupun bayangan pola pengundian kelak.

"Ianya boleh dipersoalkan termasuk dari segi kaedah, individu yang terlibat di dalam kaji selidik itu dan tidak mustahil pembangkang ada meletakkan orang mereka di dalam institusi yang membuat kajian tersebut," katanya kepada Bernama.

Beliau juga berkata tidak mustahil ini antara taktik pembangkang untuk mengalih perhatian umum daripada kemelut yang dihadapi mereka ketika ini seperti percanggahan pendirian berhubung pelaksanaan hukum hudud, klip video seks melibatkan individu yang mirip pemimpin pembangkang serta masalah calon bertindih dalam PRU13.

"Macam-macam mereka buat. Inilah antara perang psikologi mereka kerana moral mereka telah jatuh ketika ini," katanya.
Zainal tidak menolak kemungkinan akan ada lagi cubaan licik mereka untuk meraih simpati pengundi dan berkata pastinya BN perlu bersiap sedia untuk 'melawan' perang psikologi tersebut.

Hasil kaji selidik itu turut dipertikai penganalisis politik Prof Madya Datuk Dr Zainal Abidin Borhan yang menegaskan ia tidak memberikan gambaran tepat mengenai keadaan semasa.

"Setiap penyelidikan ada kaedah dan kita nak tahu kaedah bagaimana yang digunakan sama ada temu bual melalui telefon, e-mel atau bersemuka. Kita juga nak tahu adakah jumlah yang terlibat hanya daripada Universiti Malaya ataupun termasuk orang luar," soalnya.

"Biarlah 5 Mei ini menjadi penentu," katanya.

- Bernama


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP