Wednesday 3 April 2013

Anwar Ulangi Cabaran Debat Dengan Najib

KUALA LUMPUR: Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini sekali lagi mengulangi pelawaannya untuk berdebat dengan Datuk Seri Najib Razak berhubung manifesto masing-masing.

Katanya, Najib boleh mengemukakan tawaran BN bagi mempertahankan rekod pemerintahan parti itu, manakala beliau pula akan membentangkan dasar kebajikan yang ditawarkan Pakatan Rakyat.


"Sebagai mukadimah kempen Pilihan Raya Umum ke-13, Pakatan Rakyat mengulangi pelawaan kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk mempertahankan rekod Barisan Nasional dan kepada kami untuk membentangkan kebijakan dasar Pakatan Rakyat dalam sebuah debat, supaya rakyat boleh membuat pilihan yang bermaklumat dan adil," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu beliau turut memberi jaminan bahawa Pakatan Rakyat akan terus mengambil pendekatan politik matang berasaskan pembentangan dasar untuk dinilai oleh rakyat.

Menurut Anwar, kempen yang positif adalah bertepatan dengan harapan rakyat yang mahukan sebuah negara yang progresif, adil dan maju.

"Kami bertekad untuk bersama-sama mempertahankan keamanan negara dan menggesa supaya tidak ada mana-mana pihak yang mengambil kesempatan untuk menimbulkan kekacauan.

"Kami mengalu-alukan kenyataan Dato’ Seri Najib Razak yang menjamin peralihan kuasa yang aman sekiranya Pakatan Rakyat memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 ini," katanya lagi.

Beliau juga berkata, Pakatan Rakyat menaruh sepenuh keyakinan bahawa pasukan keselamatan akan bertindak secara profesional dan berlaku adil demi menjaga ketenteraman awam sepanjang tempoh berkempen.

Sehubungan itu katanya, rakyat kini mempunyai peluang yang terbuka untuk membuat pilihan bagi memberi mandat kepada kerajaan baru.

Tegasnya, seluruh rakyat Malaysia perlu merebut peluang ini untuk memilih sebuah kerajaan yang berwibawa, bertanggungjawab, bersih dari rasuah dan beriltizam kuat mahu memastikan Malaysia yang gagah.



PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP