Wednesday 3 April 2013

Hamidah Osman Kecut Kena Saman Dimahkamah..

SHAH ALAM - Ketua Penerangan Wanita Umno, Datuk Hamidah Osman memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa tindakan Anggota Parlimen Shah Alam, Abdul Khalid Samad memfailkan saman terhadap beliau jelas bermotifkan politik.

Beliau berkata, ini kerana Abdul Khalid hanya memfailkan tuntutan terhadap beliau seorang sedangkan banyak blog lain yang lebih banyak pengunjung turut menyiarkan penulisan dan pelbagai gambar berkenaan isu sama mengenai plaintif.


"Sedangkan artikel asal saya hanya ada artikel untuk mempertahankan kalimah Allah tanpa sebarang gambar. Jelas tuntutan plaintif ini hanya bermotifkan politik," katanya pada pemeriksaan utama oleh peguam Datuk Hafarizam Harun yang mewakili beliau.

Hamidah yang juga bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Rapat, Perak merupakan defendan dan selaku saksi pertama dalam perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Hashim Hamzah.

Abdul Khalid yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas III Selangor memfailkan saman terhadap Hamidah dua tahun lepas, berhubung penyiaran gambar 'superimpose' beliau yang disiar dalam blog defendan pada Januari 2010.

Pernyataan tuntutan Abdul Khalid, yang difail pada 23 Disember 2011, mendakwa gambar itu menunjukkan beliau seolah-olah seperti seorang paderi Kristian dan seorang yang murtad.

Hamidah berkata Abdul Khalid mendakwa beliau adalah penulis artikel yang mempunyai gambar 'superimpose' plaintif sedangkan beliau bukan penulis artikel itu dan tidak pernah meletakkan gambar tersebut di dalam artikelnya.

"Artikel asal pun tidak ada sebarang gambar, kononnya melalui gambar itu saya telah menuduh plaintif seorang yang murtad dari agama Islam. Isu murtad ialah isu yang serius yang perlu dirujuk kepada Mahkamah Syariah.

"Bagaimanapun saya ingin menegaskan di sini bahawa saya tidak pernah menuduh plaintif telah murtad dari agama Islam dan tidak pernah 'superimpose' gambar seperti yang didakwa dalam artikel itu," katanya.

Hamidah berkata artikel asal beliau dibuat susulan kes Mahkamah Tinggi yang membenarkan Gereja Katolik menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan mingguannya 'Herald The Catholic Weekly' dan beliau mengajak umat Islam bersatu mempertahankan kalimah Allah kerana penggunaan kalimah itu oleh orang bukan Islam adalah membahayakan akidah umat Islam.

Tambahan pula, katanya, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam kali ke-82 pada 7 Mei 2008 menghalang penggunaan kalimah Allah untuk diguna pakai oleh orang bukan Islam.

Ketika disoal balas oleh peguam Mohamed Hanipa Maidin yang mewakili Abdul Khalid, Hamidah berkata selepas menerima tuntutan saman daripada plaintif pada November 2011, beliau ada memberitahu peguamnya bahawa artikelnya tidak pernah mempunyai gambar 'superimpose' Abdul Khalid.

Mohamed Hanipa: Kalau pernah beritahu kenapa dalam pembelaan kamu tidak nafikan kewujudan gambar dalam artikel?

Hamidah: Saya tidak faham bahasa peguam, saya cuma mengaku gambar itu bukan dibuat oleh saya.

Mohamed Hanipa: Plaintif tidak pernah tuduh kamu buat gambar (superimpose), beliau cuma cakap ada gambar dalam blog kamu.

Hamidah: Setahu saya, saya tidak pernah akui kewujudan gambar itu.

Mohamed Hanipa: Saman ini telah difailkan seawal 2011, kalau (dakwaan dalam artikel dan gambar 'superimpose') tidak betul kamu awal-awal sudah mohon batalkan saman ini.

Hamidah: Bila saya dapat saman, saya serahkan kepada peguam (untuk tindakan selanjutnya). Saya telah terangkan kepada peguam bahawa artikel asal saya tiada gambar ('superimpose'), saya hanya ada nyatakan tentang keputusan Mahkamah Tinggi yang benarkan penggunaan kalimah ALLAH.

Kepada cadangan lain oleh Mohamed Hanipa, Hamidah tidak bersetuju bahawa beliau telah membuang artikelnya yang mempunyai gambar 'superimpose' plaintif hanya selepas menerima saman dan selepas permohonannya untuk membatalkan saman Abdul Khalid ditolak.

Defendan juga tidak bersetuju dengan cadangan Mohamed Hanipa bahawa tujuan beliau memasukkan gambar 'superimpose' Abdul Khalid dalam blog miliknya hamidahosman.blogspot.com adalah untuk membuatkan orang Islam mempercayai bahawa
plaintif telah masuk agama Kristian.

Perbicaraan bersambung 12 April. - Bernama


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP