Wednesday 10 April 2013

Husam Yakin Dapat Tawan Putrajaya

KUALA LUMPUR - Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa yakin Pakatan Rakyat (PR) mempunyai sokongan kuat di kalangan kakitangan awam, yang merupakan majoriti pengundi di Putrajaya, pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) 5 Mei ini.


Beliau yang dinamakan sebagai calon kerusi Parlimen mewakili Pas-PR berkata, ia adalah satu kawasan yang sangat "kuat" untuk ditembusi, namun tidak mustahil untuk mencapai kejayaan dengan sokongan yang diberi rakyat.


Kata beliau, walaupun penyokong di Putrajaya perlu mengikut peraturan sebagai penjawat awam, namun demi perubahan, mereka akan mengundi secara 'senyap' untuk PR.


"Jadi saya jangkakan mereka akan mengundi PR secara senyap," kata beliau pada sidang media di sini hari ini.


Setiausaha Agung Umno, Tengku Adnan Tengku Mansor disebut-sebut akan bertanding untuk mempertahankan kerusi Putrajaya.


Pada tahun 2004, Tengku Adnan telah menumpaskan calon PKR, Abdul Rahman Othman. Ketika itu jumlah pengundi Putrajaya seramai 5,079 orang. Calon PKR kehilangan wang deposit apabila hanya mendapat 540 undi manakala Tengku Adnan mendapat 4,086 undi.


Lima tahun lalu, Tengku Adnan mempertahankan Parlimen Putrajaya apabila menumpaskan calon Pas, Mohamad Noor Mohamad yang mendapat 1,304 undi. Tengku Adnan mendapat 4,038 undi.


Kajian Merdeka Center menunjukkan Tengku Adnan boleh memperoleh sehingga 60 peratus undi berbanding Husam 40 peratus.


Mengulas lanjut, Husam juga mengakui kawasan yang bakal ditandinginya adalah kawasan yang 'kebal' dan ia menunjukkan keazaman Pas dan PR untuk mendapatkan Putrajaya.


Exco Kerajaan Kelantan ini juga berkata, walaupun kawasan itu pusat bagi BN tetapi tidak mustahil untuk PR menembusinya dengan sokongan yang ditunjukkan oleh rakyat.


"Inilah yang kita nak tunjuk kita mampu bertanding di mana sahaja," katanya yang semalam disahkan akan bertanding di Putrajaya.



PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP