Saturday 13 April 2013

Mahathir Rayu Rakyat Pendang Tolak Mat Sabu

PENDANG - Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mahu rakyat di kawasan Parlimen Pendang menolak Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu yang akan bertanding di kawasan itu kerana sanggup bekerjasama dengan orang yang pernah dianggapnya sebagai 'kotor'.

Beliau berkata Mohamad atau Mat Sabu yang diumumkan oleh Pas sebagai calon bagi kerusi Parlimen Pendang adalah 'kaki karut' kerana bekerjasama dengan orang yang pernah dikutuknya iaitu Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.


"Dulu dia (Mat Sabu) macam-macam cakap dekat Anwar. Dia kata Anwar kotor sangat tapi kali ini dia sembah, sayang dan peluk Anwar serta sokong PKR.

"Mat Sabu juga kawan dengan Datuk S. Ambiga (Pengerusi Bersih)... ," katanya dalam ucapannya pada majlis Himpunan Rakyat Pendang di Pejabat Umno Pendang di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata Mat Sabu sebenarnya tidak wajar untuk bertanding di mana-mana kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri kerana akan memecah-belahkan orang Islam.

Katanya Mat Sabu dan perjuangan Pas hanya akan melemahkan orang Melayu sahaja dan mereka langsung tidak memperjuangkan Islam itu sendiri seperti yang disebut-sebut dalam ceramah mereka sebelum ini.

Dr Mahathir mempersoalkan sikap calon yang akan bertanding di Pendang itu kerana kononnya memperjuangkan Islam tetapi tidak pernah melakukan sesuatu kepada agama.

Beliau berkata Mat Sabu yang mendapat pelajaran hasil usaha Barisan Nasional (BN) langsung tidak pernah mengucapkan terima kasih atau membalas budi.

"Orang jenis ini tak pernah kenang budi. Kita tolong dia, dia gigit balik lepas tu. Dia datang di kawasan ini dan akan ajar anak-anak kita di sini untuk tak ucap terima kasih kepada orang yang menolong mereka," katanya.

Beliau mahu pengundi Pendang menolak Mat Sabu dan perlu memilih calon dari BN bagi memastikan masa depan mereka terjamin.


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP