Sunday 21 April 2013

Mahathir Terus Merayu Demi Mukhriz

ALOR SETAR - Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan para pengundi terutama di Kedah supaya membandingkan usaha yang dilakukan Barisan Nasional (BN) dengan pakatan pembangkang sepanjang tempoh lima tahun ini.

Sehubungan itu, beliau meminta para pengundi supaya tidak mengulangi kesilapan yang sama seperti pada pilihan raya umum (PRU) 2008 kerana tempoh lima tahun yang diberikan sudah mencukupi.

"Saya ingin meminta semua orang Kedah, termasuk pemuda-pemuda supaya menilai dengan baik segala bakti dan jasa kepada negeri Kedah, kepada Alor Setar dan seluruh negara Malaysia. Timbang dan nilai benda-benda ini dan nikmat yang kita terima," katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan bersama calon-calon BN Parlimen Alor Setar di sini malam tadi.

Katanya selama lima tahun pemerintahan Kedah diperintah pakatan pembangkang, pembangunan yang dilihat oleh rakyat Kedah ketika ini adalah saki baki daripada pemerintahan kerajaan BN dahulu.

"Apabila dipilih sebuah parti yang tidak cekap di dalam pentadbiran, mereka tidak dapat memajukan negeri Kedah ini. Inilah yang berlaku, tapi kita (BN) tidak segan-segan memberi peluang kepada rakyat memilih dan kini saya percaya rakyat sudah dapat membanding (antara BN dan Pakatan) di sini," katanya.

Dr Mahathir berkata tempoh "percubaan" selama lima tahun yang diberikan rakyat Kedah kepada pakatan pembangkang sudah mencukupi untuk menilai tahap kepimpinan pembangkang dalam mentadbir sesebuah negeri.

"Kita yakin, apabila kita rampas balik Kedah (dari pembangkang), kita akan dapat majukan lagi ini. Sebab itu kita adakan pilihan raya, apabila rakyat mendapati sesebuah kerajaan itu tidak baik, mereka boleh menggugurkan kerajaan itu hanya dengan mengundi dan tanpa pertumpahan darah," katanya.

Sebab itu, Dr Mahathir berkata jika diperhatikan, sejak Malaysia merdeka 56 tahun dahulu ia telah dapat dibangunkan dengan begitu pesat sekali sehingga hampir mencapai status negara maju.

"Jika kita tidak mentadbir negara kita dengan baik, negara kita tidak dapat dibangunkan, dan peluang perniagaan dan perusahaan tidak akan diwujudkan maka banyaklah rakyat yang akan menganggur manakala yang berniaga pula pendapatan mereka amatlah kecil," katanya.

Beliau berkata pertumbuhan bandar bermakna rakyat mendapat peluang pekerjaan dan perniagaan.

Katanya kalau pemerintah atau kerajaan tidak mempunyai kecekapan, seperti di sesetengah negara yang mencapai kemerdekaan tetapi tiada pertumbuhan sama sekali, rakyat mereka akan kekal miskin dan saling bermusuhan sesama mereka.

"Kita sedang mengadakan PRU yang ke-13 kerana kita tidak pernah mungkir janji. Kita janji setiap lima tahun sekali ataupun kurang, kita akan adakan PRU," katanya.

Beliau terdapat parti-parti yang bertanding dalam PRU bukan kerana mahu mentadbir negara atau negeri, tetapi kerana seronok mahu berkuasa.

"BN dengan ikhlasnya menyerahkan nasibnya kepada rakyat, kerana kita percaya kepada kebijaksanaan rakyat. Rakyat tentu akan memilih yang terbaik bagi mereka," katanya.

- Bernama

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP