Wednesday 10 April 2013

PANAS - Pemimpin Sayap MCA Sungai Petani Keluar Parti

Wei Sin menunjukkan surat peletakan jawatan dan keluar parti yang berkuat-kuasa semalam

Ura-ura mengatakan seorang pemimpin sayap MCA Sungai Petani akan keluar parti akhirnya terjawab apabila Ketua Pemudanya, Ong Wei Sin membuat kenyataan itu semalam.


Beliau yang ditemui di sini secara bersendirian menjelaskan telah menghantar surat peletakan jawatan serta keluar parti secara rasmi ke MCA Pusat semalam (9 April).

Menurutnya, tindakan drastik yang dilakukan menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) setelah lebih 10 tahun dalam MCA itu adalah keputusan yang diambil sendiri serta tidak dipengaruhi mana-mana pihak.

“Tujuan saya ambil tindakan ini adalah kehendak sendiri bukan sebab tidak dicalonkan, dengan harapan dapat mencari pentas lebih sesuai untuk berbakti kepada masyarakat,” katanya.

Wei Sin berkata, sebaik sahaja khabar angin mengatakan beliau mahu keluar parti tersebar, rakan politik dari parti lain ada menghubunginya dan tidak kurang juga yang menawarkan kerusi untuknya bertanding.

“Buat masa ini saya masih mahu berfikir dan berbincang dengan orang terdekat sama ada mahu menerima tawaran berkenaan atau tidak,” katanya.

Beliau berkata, Pengerusi MCA Kedah, Datuk Chong Itt Chew ada menghubunginya sebelum ini dengan memintanya supaya tidak membuat keputusan keluar parti selain memintanya bersabar.

“Saya turut mengucapkan terima kasih kepada Datuk Chong Itt Chew atas keprihatinan beliau,” katanya.

Wei Sin yang kini berusia 47 tahun juga merupakan seorang yang berpengaruh kerana beliau adalah Ketua Skuad Bantuan Krisis
MCA (CRSM) Sungai Petani yang banyak membantu pihak berkuasa membanteras jenayah.

Sebelum ini, beliau juga pernah menjawat Ketua Biro Sukan Pemuda MCA Malaysia, Naib Ketua Pemuda MCA Kedah dan Ketua Cawangan MCA Pekan Baru, Sungai Petani.

Desas-desus juga mengatakan, kemungkinan beliau akan bertanding di Dun Bakar Arang (N28) sebagai calon bebas atau mewakili parti lain yang telah menawarkan kerusi tersebut kepadanya.

Antara yang turut disebut-sebut bakal bertanding di tempat sama ialah Naib Ketua AMK Kedah, Simon Oii Tze Min (PKR);Vincent Uh (Parti Kita) dan Dr Lee Yen Wang (MCA).~ Sinar



PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP