Saturday 20 April 2013

Pertembungan PKR dan Pas di tiga Dun beri kelebihan kepada BN KUALA TERENGGANU - Pertembunga

KUALA TERENGGANU - Pertembungan calon sekutu pembangkang iaitu PKR dan PAS di tiga Dewan Undangan Negeri (Dun) di Terengganu dijangka memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) sekali gus menyerlahkan lagi keretakan pakatan itu.

Seperti yang telah dijangka sebelum ini PAS menyaksikan pertembungan dengan PKR di tiga kerusi Dun iaitu Bukit Besi, Seberang Takir dan Kota Putera.

Pertandingan tiga penjuru di Dewan Undangan Negeri (Dun) Seberang Takir menyaksikan PKR yang meletakkan calonnya Ahmad Nazri Mohd Yusof manakala PAS Zakaria Dagang selain calon BN.

Calon BN Seberang Takir Datuk Ahmad Razif Abd Rahman yang juga Ketua Penerangan Umno negeri berkata dengan pertembungan PAS dan PKR itu ia dilihat mampu memberi sedikit kelebihan kepada BN.

Katanya pertembungan itu bukanlah ancaman kepada BN kerana pengundi juga boleh melihat dan menilai sendiri untuk membuat pilihan terbaik pada proses pembuangan undi nanti sekali gus menggambarkan pakatan pembangkang itu tidak sehaluan.

Sementara itu calon PKR Ahmad Nazri berkata dia hanya mengikut amanah yang diwakilkan pemimpin pusat PKR untuk bertanding di kawasan itu.

"Saya mengetahui perkara ini tiga hari lalu dan saya terima dan bersedia untuk memikul amanah daripada parti yang tetap menginginkan wakil PKR di DUN itu (Seberang Takir)," katanya.

Calon PKR Kota Putera Dr Mohamed Abdul Ghani Ibrahim ketika ditemui berkata penyertaannya sebagai calon sesuai dengan ketetapan Majlis Presiden Pakatan yang memutuskan kawasan Kota Putera diperuntukkan kepada PKR untuk pilihan raya kali ini.

"Saya hanya mengikut kemahuan PKR Pusat yang mahukan supaya calon PKR meneruskan ketetapan supaya PKR bertanding di Kota Putera bagi meneruskan dasar-dasar yang ditetapkan," katanya.

Katanya walaupun terpaksa menentang PAS yang merupakan rakan sekutu dalam pembangkang ia terpaksa dilakukan demi menegakkan prinsip dan keadilan.

Sementara itu di Dungun, calon PKR Bukit Besi Mohd Shamsul Mat Amin pula ketika ditemui pemberita menegaskan beliau adalah calon yang menerima watikah pelantikan daripada Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan akan terus berjuang bagi memastikan kemenangan parti itu.

Ditanya mengenai tindakan PAS yang turut meletakkan calon di Dun Bukit Besi yang akan menggugat sokongan pengundi untuk PKR, beliau berkata: "Pusat dah bagi amanah pada saya,ini untuk parti, bukan peribadi".

Calon PAS Bukit Besi Roslan Ismail pula menegaskan pencalonannya itu adalah sebagai 'back-up' bagi memastikan tidak semua undi pergi kepada BN.

Sementara itu calon muslimah tunggal PAS untuk Dun Kuala Besut Napisah Ismail, 53, berkata beliau berasa yakin dengan sokongan padu dan kepercayaan yang diberikan oleh pemimpin atasan PAS Terengganu untuk membolehkannya melakukan kejutan.

"Saya tidak rendah diri sebagai seorang wanita tetapi dengan semangat saya dalam PAS sejak 1997, saya yakin kemenangan akan berpihak kepada kami," katanya. - Bernama

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP