Friday, 31 May 2013

KDN Terus Mengganas..

Harakah: Belum dijual, sudah dirampas

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengecam tindakan Kementerian Dalam Negeri yang merampas akhbar milik Parti Islam Se-Malaysia (PAS), iaitu Harakah.

"DPPM menganggap tindakan KDN adalah suatu dendam politik kesumat Menteri Dalam Negeri ketika pasca PRU13 dan yang menjadi mangsa adalah akhbar milik PAS," ujar Setiausahanya, Khairul Faizi Ahmad Kamil (gambar) dalam satu kenyataan.


Tambahnya, tinjauan DPPM mendapati dirampas kebanyakannya di negeri Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.

Justeru, katanya DPPM mempersoalkan syarat-syarat permit yang ketat, tidak rasional serta tidak praktikal oleh KDN dengan menghadkan jualan akhbar tersebut hanya untuk ahli parti dan dijual di premis parti sahaja.

"Sebagai sebuah parti yang berdaftar dan sah di dalam sistem demokrasi di negara ini, PAS berhak memiliki akhbarnya sendiri dan menjual akhbar miliknya di ruang terbuka tanpa sekatan," ujarnya.

Beliau menegaskan, Harakah bukan barang haram yang tidak boleh dijual, ia telah mendapat permit secara sah dari kerajaan dan milik parti yang sah dalam negara ini.

Selain itu, tambah beliau alasan KDN merampas akhbar ialah kononnya ia dijual di tempat terbuka.

Namun begitu, tambah beliau DPPM melihat tidak semestinya apabila ia dijual di tempat terbuka ia tidak boleh dibeli oleh ahli PAS.

Katanya, dengan keahlian PAS berjumlah sejuta orang, bagaimana ahli PAS untuk mendapatkan akhbarnya sendiri jika tidak dijual di pasaran terbuka dan diketahui ramai.

Menurutnya lagi, DPPM juga difahamkan, pihak pengurusan Harakah telah mengikut segala peraturan-peraturan KDN meskipun ia tidak masuk akal, antaranya adalah setiap kedai disediakan satu rak berasingan untuk akhbar Harakah dengan akhbar lain.

"Pihak Harakah telah membelajakan hampir RM70,000 untuk membeli rak di kedai seluruh negara. Itupun KDN masih tidak berpuas hati dan masih mahu merampasnya!" ujarnya.

Beliau berkata, DPPM juga merasa kesal kerana penguatkuasaan KDN tidak mengikut Sistem Prosuder Kerja (SOP), justeru ramai pengedar mengadu sebahagian daripada Harakah dirampas ketika masih belum dipamerkan lagi.

Dalam erti kata lain, ujar beliau kebanyakan naskah masih belum dijual dan masih dalam bungkusan lagi.

Jika demikian, katanya KDN jelas telah melanggar SOP yang ditetapkan oleh mereka sendiri.

Kesannya, ujar Khairul Faizi jualan Harakah telah merosot sebanyak 10,000 naskah sejak dirampas sebanyak 2 keluaran yang lepas, antara puncanya kerana pengedar dan penjual Harakah ditakut-takutkan dengan tindakan mahkamah serta denda maksimum sebanyak RM5,000.

"Jelaslah tujuannya adalah untuk mencampakkan rasa takut dalam diri pengedar Harakah serta untuk melumpuhkan rangkaian penjualan dan pengedaran Harakah seluruh negara," katanya.

Justeru, beliau mempersoalkan mengapa KDN tidak pula merampas akhbar nasional yang jelas memaparkan berita fitnah, lucah, berat sebelah serta melanggar etika pemberitaan seolah-olah ia milik BN sahaja.

"Apakah kerana akhbar-akhbar ini menjaga hubungan baik dan pemberitaan mereka yang jelas condong kepada BN maka mereka diberikan terus hak beroperasi tanpa apa-apa tindakan?

"Apakah ini tafsiran demokrasi sebenar yang difahami oleh Menteri Dalam Negeri?" tanya beliau lagi.

Tindakan itu, katanya menggambarkan kegagalan Transformasi Politik Perdana Menteri khususnya melalui Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Menurutnya, meskipun akta ini telah dipinda pada tahun 2012 namun ia langsung tiada memberi kesan, antaranya adalah pindaan yang dibuat langsung tidak menyentuh isu-isu fundamental dalam menilai kebebasan akhbar.

Selain itu, ujarnya kuasa mutlak untuk memberi permit, menggantung mahupun membatalkan permit akhbar terletak sepenuhnya pada Menteri Dalam Negeri dan boleh menggantung mana-mana akhbar tanpa memberi sebab dengan pihak yang dianiaya atau menjadi mangsanya tidak diberi ruang untuk membela haknya di mahkamah.

"Jika beginilah keadaannya, wajarlah rakyat bangkit menuntut hak mereka. Sudahlah media diperkudakan sepenuhnya untuk kempen selebah pihak BN sepanjang masa, media utama milik parti pula diambil tindakan.

"Selama begini keadaan demokasi di negara ini, selama itulah rakyat berada dalam kegelapan," ujarnya.



PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

1 comments:

PAS Cawangan Bukit Sentosa 2 31 May 2013 at 11:58  

Ana cadangkan Utusan Malaysia dan Berita Harian utk ahli UMNO sahaja.Amacam baru adil?.wallahhualam

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP