Saturday 11 May 2013

MAS Akui Angkut 6,533 Pengundi Dari Sabah

Malaysia Airlines (MAS) menolak dakwaan bahawa ia membawa pengundi hantu pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) baru-baru ini.

Sebaliknya, menurut MAS, ia mengangkut 6,553 penumpang dengan menggunakan 57 penerbangan sewa khas komersil sepanjang tempoh 2 Mei hingga 4 Mei dan 6 Mei hingga 8 Mei, yang semuanya rakyat Malaysia.


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines Ahmad Jauhari Yahya berkata kesemua penumpang adalah rakyat Malaysia yang mengemukakan kad pengenalan semasa daftar masuk.

"Malaysia Airlines telah dan akan sentiasa menjadi syarikat penerbangan berintegriti dan oleh itu kami tidak lagi akan bertolak ansur terhadap dakwaan tidak berasas terhadap kami dan kami akan melakukan apa sahaja yang perlu untuk melindungi kedudukan kami," katanya dalam sidang akhbar di Akademi Malaysia Airlines di Petaling Jaya semalam.

Beliau berkata MAS mengadakan penerbangan sewa khas komersil untuk membawa pengundi pulang ke kawasan mereka agar mereka dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi.

"Ini adalah penerbangan dua hala dari Kuala Lumpur ke empat destinasi iaitu Kota Kinabalu, Sandakan, Kuching, Sibu serta pengundi dari Sabah dan Sarawak ke Kuala Lumpur," katanya.

Ahmad Jauhari berkata syarikat penerbangan itu telah memainkan peranan sebagai syarikat korporat bertanggungjawab dengan memperkenalkan tambang istimewa untuk semua pengundi Malaysia yang terpaksa pulang ke kampung masing-masing untuk mengundi.

"Malah, Malaysia Airlines telah mengetepikan semua penalti bagi rancangan perjalanan yang diubah untuk semua penumpang kami semasa tempoh pilihan raya umum. Kami mungkin satu-satunya syarikat penerbangan yang berbuat demikian," katanya.

Beliau berkata kempen promosi PRU13 yang bermula 17 hingga 28 April mendapat sambutan menggalakkan.

"Dalam tempoh dua minggu selepas pengumuman kempen itu dibuat, 34,000 tempat duduk telah pun dibeli.

"Bagaimanapun, adalah malang beberapa dakwaan dibuat terhadap Malaysia Airlines terutamanya mendakwa Malaysia Airlines membawa pengundi hantu dalam pesawat kami antara Semenanjung Malaysia dan Sabah serta Sarawak semasa pilihan raya umum baru-baru ini," katanya.

- Bernama



PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP