Sunday 12 May 2013

Polis Tahan Warga Tempatan Bebas Warga Asing

KLANG 12 MEI : Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago mempertikaikan kredibiliti polis yang menjalankan siasatan terhadap enam orang berhubung insiden penahanan dua bas dipercayai membawa warga asing ketika Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) baru-baru ini.

Tegasnya, polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu professional dalam menjalankan tugasnya dan bertindak terhadap keseluruhan maklumat yang diberikan untuk mengelakkan berlakunya ketidakadilan.


Katanya, polis tidak wajar bersikap membuat dakwaan secara selektif dengan menangkap enam orang itu sedangkan dalam masa yang sama tiada penangkapan dan dakwaan kepada pengundi yang diragui itu.

“Mengapa dalam tempoh 24 jam itu polis menahan ketiga-tiga orang yang menahan pengundi diragui itu tetapi dalam pada masa yang sama melepaskan pekerja asing itu.

“Pihak polis sepatutnya bersikap adil dan saya juga telah meminta pihak SPR untuk datang dan menentukan bahawa 18 orang pengundi ragu itu yang berada di dalam bas itu adalah pengundi ataupun tidak,” kata Charles.

Beliau berkata demikian semasa sidang media bersama tiga individu yang ditangkap polis itu, Lim Siong Kuan,32, Liow Mun Ho, 23, Yap Kwee Heng, 37, di sebuah restoran di Pandamaran di sini.

Katanya, beliau mempunyai bukti bergambar salah seorang daripada 18 individu mempunyai kesan dakwat kekal seraya menggesa polis dan SPR membuat siasatan apakah pekerja asing itu mempunyai hak mengundi.

“SPR dan polis perlu menyelesaikan isu ini dengan segera dan jangan hanya membuat pendakwaan yang selektif,” kata beliau.

- Selangorku



PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP