Saturday 4 May 2013

Terkini - BN Dijangka Hilang Dua Kerusi Di Negeri Sembilan

Sebelum penamaan calon, BN dan Pakatan Rakyat dilihat mempunyai peluang sama rata untuk menguasai Negeri Sembilan yang mempunyai 36 kerusi dewan undangan negeri (DUN).

Dengan hanya dua kerusi pada pilihan raya tahun 2004, Pakatan melonjak menguasai 15 kerusi selepas pilihan raya umum tahun 2008, sekaligus menafikan majoriti dua pertiga BN.

Memerlukan empat lagi kerusi untuk membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah 19 kerusi, mampukah Pakatan meneruskan kemaraan mereka di negeri itu dalam pilihan raya umum kali ini?

Pakatan sebelum ini mengintai-intai peluang untuk merampas lima kerusi yang dimenangi BN dengan majoriti tipis, seperti berikut: Klawang (majoriti 841 undi), Pilah (1,258 undi), Lenggeng (1,285 undi), Johol (1,263 undi) dan Labu (1,405 undi).

Mereka juga turut mensasarkan Jeram Padang (majoriti 1,808) dan Linggi (1,575) yang menyaksikan majoriti BN berkurangan separuh daripada tahun 2004.

Namun, selepas penamaan calon dan tempoh kempen selama dua minggu, analisis semasa menunjukkan BN dijangka terus mengekalkan penguasaan di negeri dan parlimen.

Namun, kemenangan itu perlu dibayar dengan BN berdepan kemungkinan hilang satu atau dua kerusi di peringkat DUN.

Kerusi-kerusi yang disasarkan untuk dirampas Pakatan sebelum ini dijangka terus kekal dengan BN, kecuali Lenggeng.

Menyedari kerusi-kerusi ini majoriti pengundinya adalah Melayu, BN merangka strategi kempen peringkat tempatan yang berkisar sekitar kelangsungan kuasa politik dan nasib orang Melayu.

Penolakan dalaman Ishak Ismail

Ia jelas dilihat menerusi ceramah-ceramah kelompok mereka yang menekankan tema BN sebagai kerajaan yang menegakkan syiar Islam dan memastikan kuasa politik terus kekal di tangan Melayu.

Pemberian bantuan wang tunai di bawah skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan Baucer Buku 1Malaysia juga memberi kesan dalam mengekalkan sokongan orang-orang Melayu luar bandar kepada BN.

DUN Lenggeng sebagai kawasan majoriti Melayu dengan nisbah 75 peratus pada mulanya dilihat mampu kekal di tangan BN.

Namun, penolakan ahli Umno setempat terhadap pencalonan Ketua Bahagian Umno Seremban, Datuk Ishak Ismail dilihat melemahkan kerja-kerja jentera BN dan membuka ruang untuk PAS merampas kerusi tersebut.

Tinjauan Malaysiakini di Lenggeng mendapati poster Ishak kelihatan kurang berbanding poster calon dan bendera PAS.

Di samping itu, pendirian mesra BN calon Bebas, Zulkifli Abdullah juga berpotensi memecahkan undi kepada BN yang diwakili Ishak.

Selain Lenggeng, BN juga berhadapan risiko kehilangan kerusi Parlimen Chennah.

Chennah yang dimenangi BN dengan majoriti 1,298 undi pada tahun 2008 kini berdepan saingan sengit daripada DAP.

DAP meletakkan calon 'bintang' mereka, pengerusi DAP negeri, Anthony Loke yang merupakan mantan ahli dewan undangan negeri (ADUN) Lobak merangkap ahli Parlimen Rasah.

Laluan mudah Anthony Loke

Ditambah pula komposisi pengundi Chennah yang majoritinya adalah orang Cina (50.8 peratus), Loke dijangka mempunyai laluan mudah dalam berdepan calon baru BN, Siow Foo Wen.

Kempen peringkat nasional yang bertemakan keamanan, kestabilan, dan perpaduan juga bukan penyelesaian kepada isu peluang sama rata dalam perniagaan, pendidikan dan pekerjaan yang dihadapi pengundi Cina.

Di pihak BN, mereka mensasarkan kerusi-kerusi yang dimenangi Pakatan dengan majoriti tipis - Ampangan (majoriti 165 undi), Sikamat (499 undi), Repah (533 undi), dan Port Dickson (733 undi) untuk kembali membentuk majoriti dua pertiga.

BN menampilkan Abu Ubaidah Redza, seorang muka baru yang dianggap masih 'bersih' dan mempunyai latar belakang agama yang kuat.

Namun pengalaman beliau sebelum ini sebagai saudagar daging segar dilihat kurang terampil berbanding lawannya, Datuk Kamarul Baharin dari PKR.

Di sebelah Kamarul pula, kempen beliau dilihat kurang mendapat dokongan dari penyokong-penyokong seorang lagi personaliti parti yang didakwa menutup bilik gerakan selepas kecewa tidak dicalonkan.

Di Sikamat, penyandang dari PKR, Aminuddin Harun berdepan saingan sengit dari calon BN muka baru, pemimpin pertubuhan belia, Wan Salwati Abdullah.

Namun, kempen Wan Salwati dikhuatiri terkena tempias sabotaj di hari pengundian daripada pengikut ketua umno Seremban, Datuk Ishak Ismail yang diuar-uarkan turut mengintai kerusi Sikamat tetapi diberikan kerusi Lenggeng.

Justeru, kedua-dua kerusi ini dilihat masih 50-50 peluangnya bagi Pakatan Rakyat dan BN.

Laluan sukar Aishah di kawasan Felda Repah pula dijangka kekal di bawah DAP memandangkan calon Bebas di situ, Fadzil A Bakar yang menjadi saingan sengit buat S Veerapan adalah bekas ahli Umno.

Fadzil yang popular di kalangan penduduk setempat dilihat mampu menambat hati sebilangan pengundi Melayu namun, pengundi majoriti Repah yang terdiri daripada orang Cina dijangka terus menyokong DAP.

Di peringkat parlimen, pengundi Cina dan Melayu di kawasan bandar dijangka terus menyokong Pakatan untuk menguasai kerusi parlimen Rasah dan Seremban.

Jika kehadiran puluhan ribu orang di tiga ceramah raksasa Pakatan Rakyat sepanjang tempoh kempen berlangsung menjadi ukuran sokongan pengundi, Pakatan boleh tersenyum yakin dengan potensi mereka untuk menang.

Sementara, lima kerusi parlimen luar bandar dengan majoriti pengundi Melayu - Jelebu, Jempol, Kuala Pilah, Tampin, dan Rembau - dijangka kekal dikuasai BN.

PAS yang mempertaruhkan penyanyi Aishah menentang pengerusi Felda Global Venture, Tan Sri Isa Samad bagi parlimen Jempol berhadapan laluan sukar menawan pengundi Jempol yang sebahagiannya adalah peneroka tanah rancangan Felda Raja Alias.

Teluk Kemang dengan komposisi pengundi seimbang di antara tiga kaum (Melayu 42.35 peratus, Cina 33.18 peratus, dan India 21.41 peratus) pula adalah resepi terbaik untuk penyandang, Datuk Kamarul Baharin dari PKR untuk kekal dipilih sebagai ahli parlimen untuk penggal kedua.

Situasi ini menunjukkan BN akan kekal popular di kawasan luar bandar dengan majoriti Melayu sementara Pakatan pula akan terus kekal di kawasan-kawasan bandar dan kawasan dengan komposisi kaum yang seimbang.

Bagaimanapun, dalam tempoh 24 jam sebelum pengundian esok, pelbagai kemungkinan masih boleh berlaku.
 

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP