Friday 19 July 2013

Raja Nong Chik Saman Nurul Izzah

Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin memfailkan saman terhadap anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dan dua lagi atas dakwaan menerbitkan kenyataan fitnah berhubung pembelian tanah di Bukit Kiara.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar itu memfailkan saman itu di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil pada 17 Julai lepas melalui Tetuan Raja Riza & Associates.


Beliau menamakan Nurul Izzah, yang juga Naib Presiden PKR, Mkini Dotcom Sdn Bhd, pemilik portal berita Malaysiakini dan wartawan Malaysiakini Lu Wei Hoong, sebagai defendan.

Media memperoleh writ saman itu hari ini.

Peguam M.Reza Hassan memberitahu pemberita bahawa kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 19 Ogos ini di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datin Yeoh Wee Siam.

Dalam pernyataan tuntutannya, Raja Nong Chik, 60, mendakwa Nurul Izzah, 33, telah mengeluarkan kenyataan fitnah serta palsu berhubung pembelian tanah itu pada sidang akhbar di Bangunan Bakti, Taman Tun Dr Ismail di sini, sehari sebelum hari pengundian pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Raja Nong Chik mendakwa kenyataan Nurul Izzah itu telah diterbitkan di lamanweb Malaysiakini pada hari sama iaitu 4 Mei lepas.

Beliau memohon perintah injunksi agar defendan-defendan sama ada melalui dirinya atau ejen-ejennya dihalang daripada mengeluarkan atau menerbitkan perkataan sama yang menfitnah dirinya.

Beliau juga memohon gantirugi am, teruk, teladan, satu perintah supaya defendan menerbitkan satu permohonan maaf, faedah, kos dan lain-lain relif yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Katanya akibat penerbitan kenyataan itu, reputasi dan maruahnya sebagai ahli politik, bekas menteri dan senator yang dihormati di negara ini telah terjejas teruk.

Pada PRU13, 5 Mei lepas, Nurul Izzah menewaskan Raja Nong Chik dengan majoriti 1,847 undi.

- Bernama

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP