Monday 15 July 2013

SPR Nak Bersihkan Daftar Pemilih..? Berhentilah Buat Lawak..!!

Selepas Bersih 2.0 dan Pakatan Rakyat (PR) berkali-kali mendesak pembersihan daftar pemilih, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akhirnya memberitahu satu jawatankuasa sudah ditubuhkan untuk membersihkan daftar pemilih yang dikatakan tercemar dan menjadi punca Barisan Nasional (BN) terus berkuasa selepas Pilihan Raya 2013.

Menurut Datuk Wan Ahmad Wan Omar SPR kini sedang mengemaskini daftar pemilih bagi memastikan ianya bersih untuk digunakan pada pilihan raya akan datang.


"Jawatankuasa berkenaan ditubuhkan selepas pilihan raya umum ke-13 (PRU13) lalu, termasuk pada bulan Ramadan berusaha keras bagi mengemaskini daftar undi dan ini merupakan satu urusan berterusan," kata Wan Ahmad apabila dihubungi oleh The Malaysian Insider.

“Menjadi keutamaan penting SPR bagi meneliti semula daftar pemilih yang dikatakan telah menimbulkan masalah oleh pihak tertentu. Pegawai SPR dari segenap negeri berganding bahu bagi mengemaskini daftar pemilih berkenaan dan dijangka jawatankuasa berkenaan akan mengeluarkan laporan berkenaan pada bulan ini serta dari masa ke semasa,” tambahnya.

Pengerusi Bersama Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan pada Sabtu mengatakan mereka akan menganjurkan Perhimpunan Bersih 4.0 jika badan penggendali pilihan raya itu tidak berbuat apa-apa untuk membersihkan daftar pemilih.

Wan Ahmad turut menggesa mereka yang memperlekehkan usaha SPR menjalankan persempadanan semula agar melihat usaha berkenaan dari sudut positif dan pemikiran yang rasional dan bukan membuat tuduhan melulu.

“Sememangnya Perlembagaan menyatakan persempadan semula perlu dilakukan setelah lapan tahun persempadanan terakhir dan tidak memberi tempoh akhir untuk berbuat demikian.

“Persempadanan terakhir dilakukan pada 2003 maka SPR boleh membuat persempadanan pada 2011 namun tidak berbuat demikian kerana bagi membuat persiapan untuk menghadapi PRU13. Adakah kita mahu persempadanan ini dilakukan 20 tahun lagi?" soal Wan Ahmad.

Wan Ahmad turut menyelar Bersih 2.0 kerana hanya membuat tuduhan melulu tanpa mengambil tahu apa yang SPR sedang lakukan untuk memastikan perjalanan pilihan raya bertambah baik.

Mengulas berhubung penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Wan Ahmad menjelaskan SPR menggunakan pendekatan untuk mencelup jari kerana terdapat kerani pengundian pada PRU lalu yang tidak sekata dalam memcalit jari pengundi menyebabkan dakwat berkenaan tidak tahan lama.

“Kita perlu faham PRU lalu adalah kali pertama SPR melaksanakan penggunaan dakwat kekal jadi mungkin ada sedikit masalah yang tidak dapat dielakkan.

“Apa yang dikesalkan adalah ada pihak yang cuba dengan bersungguh-sungguh untuk memadamkan dakwat kekal berkenaan selepas mengundi dengan menggunakan pencuci dan peluntur. Meskipun kami didakwa melaksanakan langkah retrogresif (mundur) namun ada pihak yang ingin menggunakannya, jadi itulah hasilnya,” tambah Wan Ahmad.

Berhubung peratusan nitrat perak dalam dakwat kekal pada PRK nanti, beliau menjelaskan SPR akan memaklumkan hal berkenaan dalam satu sidang medianya nanti beserta satu demonstrasi menunjukkan bagaimana dakwat itu akan dicelup.

Ambiga sewaktu berucap di sebuah forum yang dianjurkan oleh Majlis Peguam pada Sabtu tidak menolak kemungkinan satu lagi perhimpunan besar-besaran akan dianjurkan oleh kumpulannya untuk menuntut reformasi pilihan raya.

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar yang turut hadir pada majlis sama berkata PR akan memfailkan saman kepada SPR berhubung penipuan yang dilakukan oleh badan penggendali pilihan raya itu berhubung kandungan nitrat perak yang didakwa berbeza-beza pada PRU lalu.

Nurul Izzah memberitahu SPR tidak boleh menukar kenyataan berhubung kandungan nitrat perak daripada lima ke tujuh peratus ke satu peratus dan kemudiannya mengumumkan dakwat kekal berkenaan hanyalah pewarna makanan.

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP