Sunday 25 August 2013

Azmin Akan Tentang Wan Azizah Jawatan Presiden PKR?

Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali hari ini menepis spekulasi mengatakan beliau akan bertanding jawatan Presiden menentang Datuk Seri Dr Wan Azizah dalam pemilihan parti itu yang dijadualkan awal tahun depan.

Bercakap kepada The Malaysian Insider, ahli Parlimen Gombak itu menegaskan fokus utamanya kini adalah bekerja untuk memastikan anak muda akan tertarik kepada PKR sekaligus mengukuhkan kedudukan mereka dalam tempoh lima tahun akan datang.


"Itu (soal bertanding jawatan Presiden) kita bincang kemudian ... saya nak fokus kerja supaya PR boleh gunakan lima tahun akan datang untuk menarik anak muda menyokong PR," katanya kepada The Malaysian Insider ketika ditemui dalam majlis rumah terbukanya di Ampang, merujuk kepada Pakatan Rakyat.

"Kita mahu membina kekuatan parti dan penjenamaan semula parti supaya ia lebih menarik," katanya lagi.

Azmin juga turut menepis dakwaan wujudnya agenda memboikot Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim seperti dilaporkan media sebelum ini, sebaliknya mengakui hubungan beliau selaku Pengerusi PKR Selangor amat rapat dengan Abdul Khalid yang juga merupakan Pengerusi PR Selangor.

"Kita ada muafakat cukup baik ... wacana agak berkala bagaimana parti boleh b ersama kerajaan negeri melaksanakan manifesto. Hubungan kerja cukup baik, jangan layan fitnah dan tohmahan," katanya lagi.

Beliau juga berkata, hasil perbincangan ketika temu rapat antara pemimpin PR di Pulau Pinang yang berlangsung pada Ahad dan Isnin lalu juga perlu dilaksanakan.

"Kita nak selaraskan dan laksanakan apa yang kita bincangkan di temu rapat," katanya ringkas, sebelum kembali melayan tetamu di jamuan rumah terbukanya.

Laporan media sebelum ini berkata Abdul Khalid umpama dipinggirkan PKR negeri dalam aktiviti mereka dan hanya dilihat menghadiri program anjuran agensi-agensi kerajaan negeri serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tanpa penyertaan pemimpin serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adu) mahu pun pimpinan cabang PKR.

Malah, Khalid juga turut dikatakan dilihat hanya hadir dalam program-program anjuran Exco atau DUN yang diwakili oleh PAS atau DAP.

Perkara itu dikatakan disedari apabila Majlis Hari Terbuka hari raya pertama yang diadakan di Dataran SUK di Shah Alam hanya dihadiri oleh kebanyakan pimpinan PAS dan DAP tanpa kehadiran pemimpin dan Adun mahupun kepimpinan cabang PKR Selangor.

Ketika program hari terbuka Parlimen Gombak yang dianjurkan oleh Azmin baru-baru ini, Khalid juga tidak kelihatan walaupun ramai Adun dan pimpinan PKR hadir.

Memetik sumber dalaman kumpulan pro-Azmin, media melaporkan bahawa pimpinan pusat ‘terlampau’ campur tangan dalam pentadbiran politik negeri.

- tmi

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP