Monday 30 September 2013

PEMILIHAN UMNO: ANTARA WANG POLITIK DAN POLITIK WANG

Setiap kali menjelangnya pemilihan UMNO, maka muncullah istilah politik wang. Anehnya, apabila menjelang pilihan raya, istilah ini tidak kedengaran pula. Saya timbulkan persoalan ini kerana saya lihat semasa pilihan raya, bukan hanya politik wang yang berleluasa tetapi juga rasuah politik berlaku di mana-mana. Tetapi mengapa kita diam? Mengapa politik wang dan rasuah politik tidak dijadikan isu?

Saya betul-betul tidak faham tentang hal ini. Lebih-lebih lagi tadi petang seorang kawan datang ke rumah saya dan mengeluh tentang berleluasanya politik wang. Saya tanya beliau, apakah bentuk politik wang yang berlaku itu? Apakah bakal perwakilan disogokkan wang untuk mendapatkan undi?


Kawan saya menjawab mudah. Di hotel-hotel katanya, ramai calon 'menggunakan wang' berbelanja pengikut mereka minum dan makan. Aduh! Itu bukan politik wang. Itu adalah wang politik atau kos politik yang perlu digunakan oleh calon untuk bersama dengan penyokong masing-masing.

Takkanlah dalam politik calon tidak boleh mendekati penyokong dan belanja mereka makan dan minum? Jika soal ini pun ditafsirkan sebagai politik wang, maka hambarlah persaingan untuk apapun jawatan dalam politik negara. Jika ini pun dikira sebagai politik wang, maka lesulah politik negara kerana calon yang bertanding sama sekali tidak boleh mengeluarkan kos untuk bersama penyokong mereka sambil makan dan minum untuk merancang strategi dan gerak kerja bagi mencari sokongan.

Jika ini pun dikira politik wang, maka bagaimana kempen boleh dilakukan oleh calon yang bertanding? Dan tanpa kempen, bagaimana perwakilan boleh tahu seseorang calon itu mempunyai wibawa atau sebaliknya? Aduh! Jika begini, ertinya masih jauhlah UMNO dari mencapai transformasi yang diharapkan oleh ahlinya. Jika beginilah sekatan kempen dalam pemilihan parti UMNO, ertinya masih jauhlah untuk UMNO berubah ke arah 'transformasi' yang sesuai dengan tuntutan politik semasa.

Hairannya lagi, apabila musim pilihan raya parti yang berbelanja besar memberikan kain sarung, rokok dan wang tambang pulang mengundi tidak pula dikatakan sebagai politik wang, jauh sekali untuk menyatakannya sebagai rasuah politik. Inilah yang peliknya pada saya. Ingatlah, dalam pemilihan tanpa kempen dan kos politik, maka itu adalah pertandingan yang sakit. Sakitnya bukan ringan, tetapi sakit yang tenat kerana pemilihan diadakan tanpa perwakilan mempunyai maklumat yang mencukupi tentang wibawa calon yang bertanding.

Politik wang bukan soal calon berbelanja untuk meraikan pengikut mereka. Politik wang ialah menggunakan wang untuk membeli kuasa politik, dan menggunakan kuasa politik untuk mendapat wang. Misalnya, terdapat seramai 269 calon menarik diri dari bertanding dalam pemilihan UMNO Oktober ini setelah mendaftarkan diri untuk bertanding jawatan tertentu.

Persoalannya, adakah mereka ini ikhlas menarik diri atau berbuat demikian kerana didesak supaya menarik diri atau ada ganjaran tertentu? Hal ini ‘mungkin sesuai’ untuk disiasat atas andaian calon yang menarik diri tersebut ‘mungkin’ didesak atau diberi ganjaran. Saya tidak menuduh, cuma memberi contohnya sahaja untuk memahami konteks politik wang yang sesuai.

Tetapi jika calon sekadar berbelanja dan memberikan wang kepada penyokong mereka untuk bekerja dan berkempen bagi mendapatkan sokongan, maka itu adalah wang politik. Di negara maju, wang politik ini dipanggil kos politik atau ‘political financing’ yang dibenarkan.

Jadi, mengapa kita perlu terlalu takut dengan politik wang ini sehingga menyekat kreativiti calon yang bertanding untuk berkempen secara bebas dan sihat? Bilakah politik kita boleh maju jika definisi politik wang kita masih belum jelas sehingga kini? Atau apakah politik wang ini hanya terpakai untuk calon yang tidak ada jawatan sahaja kerana bagi calon yang ada jawatan dalam kerajaan atau parti, mereka boleh berselindung di sebalik jawatan mereka untuk mengadakan pertemuan dengan ahli atau perwakilan atas alasan menjalankan tugas rasmi kerajaan dan parti? Saya tidak mengerti tentang hal ini.

Selepas pemilihan UMNO kali ini, sudah sampai masanya kita melihat semula definisi politik wang untuk membezakannya dengan istilah wang politik. Ingatlah, dalam sebuah sistem demokrasi, politik tidak boleh maju jika semua peraturannya dikawal oleh mereka yang berkuasa sahaja.

UMNO, berubahlah ke arah membenarkan kempen yang sihat dalam pemilihan, bukannya mengenakan sekatan kempen yang ketat! Itulah sebenarnya semangat pindaan peraturan pemilihan parti yang dibuat empat tahun lalu.

Mohammad Agus Yusoff

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP