Sunday 6 October 2013

Filem Gagal 'Tanda Putera' Akan Masuk Felda Pulak..

Selepas gagal mendapat sambutan di panggung wayang, filem kontroversi Tanda Putera akan ditayangkan secara percuma di semua 317 tanah rancangan Felda, lapor akhbar Inggeris, The New Straits Times hari ini.

Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad yang sedang berkempen untuk jawatan Naib Presiden Umno berkata, ia sebahagian dari projek panggung wayang terbuka Felda.


"Masyarakat Felda patut pergi menonton filem yang juga menyentuh pembangunan Felda yang dimulakan oleh perdana menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein sendiri.

"Kita yakin mereka akan mengambil kesempatan untuk menonton sendiri filem ini dan mendapat maklumat sebenar sebelum membuat sebarang andaian mengenai jalan ceritanya," katanya sebagaimana yang dipetik akhbar itu ketika berucap di majlis pelancarannya di Padang Awam Felda Palong 12 di Jempol, Negeri Sembilan, Jumaat lepas.

Isa juga berkata, pihaknya juga sedia menayangkan filem itu di kampung-kampung tradisi jika ada permintaan ke atasnya.

"Filem ini bagus, cerita sejarah yang sesuai untuk ditonton oleh golongan remaja. Kita tidak ada masalah untuk menayangkannya di mana-mana saja," tambahnya.

Filem yang menelan belanja RM4.8 juta yang dibuat berasaskan peristiwa perbalahan kaum 13 Mei, 1969 di Kuala Lumpur itu mendapat bantahan dari DAP dan MCA yang mendakwa beberapa dialog dan gambaran dalam filem itu boleh mencetuskan ketegangan kaum.

Kedua-dua parti itu mengkritik penayangan filem ini yang antaranya menunjukkan Cina yang bertanggungjawab mencetuskan tragedi 13 Mei itu.

Tanda Putera mengalami kerugian yang teruk apabila gagal mendapat sambutan di pawagam. Gambar The Malaysian Insider,

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang antara yang tidak berpuashati dengannya kerana menunjukkan sekumpulan remaja Cina kencing di tiang bendera yang terletak di perkarangan rumah bekas menteri besar Selangor, Datuk Harun Idris.

Ia seolah-olah menggambarkan Lim sebagai salah seorang dari remaja itu.

Dalam satu posting menerusi laman Facebook Tanda Putera, pentadbir laman meminta maaf kepada Lim kerana mendakwa beliau terlibat dalam kejadian itu.

Filem ini mula ditayangkan di panggung wayang pada 29 Ogos tetapi gagal mendapat sambutan.

Pengarah filem ini, Datin Paduka Shuhaimi Baba berkata, beliau sudah menjangka filem ini tidak akan mendapat sambutan baik kerana ia cerita sejarah yang sukar mendapat minat dari peminat wayang gambar, yang biasanya suka menonton cerita seram atau komedi.

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP