Friday 11 October 2013

Husam Dan Exco Kelantan Bertegang Urat

KOTA BAHARU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang masuk hari ketiga panas seketika apabila bekas anggota Exco kanan Datuk Husam Musa bertegang urat dengan beberapa anggota Exco negeri ketika sesi penggulungan.

Pada satu ketika Husam (PAS-Salor) yang mempertahankan beberapa kenyataannya semalam yang menyentuh mengenai kepincangan kerajaan negeri kelihatan berang apabila beberapa anggota Exco berkenaan menafikan berlakunya penyelewengan dan salah tadbir.


Anggota Exco berkenaan iaitu Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat, Hanifa Ahmad; dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau, Datuk Mohd Nassuruddin Daud menyifatkan segala dakwaan Husam itu sangat serius dan tidak benar sama sekali.

Husam yang merupakan bekas Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Kelantan yang kelihatan kecewa dengan serangan itu beberapa kali bangun untuk mempertahankan kenyataannya itu.

Semalam Husam ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan 2014 Kerajaan Kelantan membidas tindakan kerajaan negeri terhadap kepincangan pengurusan Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), kelulusan tanah seluas 1,400 hektar di Hutan Simpan Kekal Ulu Sat di Machang, penamatan kontrak syarikat Korea Selatan untuk pembinaan Lebuh Raya Rakyat dan pelaksanaan hukum syariah di negeri itu.

Hanifa dan Mohd Nassuruddin mendakwa segala keputusan menimbulkan dakwaan Husam itu telah dijelaskan dalam beberapa mesyuarat yang turut sama menjemput Husam menyertainya.

"Bagaimanapun Yang Berhormat Salor (Husam) tidak hadir dalam mesyuarat bersama Ahli Yang Berhormat dalam beberapa mesyuarat itu," kata Hanifa sewaktu penggulungan itu.

Husam bagaimanapun menafikan perkara itu sebaliknya berkata walaupun ketiadaannya, wakil dirinya telah hadir namun perkara berkenaan tidak diperbincangkan. Bekas anggota Exco itu kemudiannya mahu satu lawatan kesemua Loji Rawatan Air diadakan segera bagi membuktikan kebenaran dakwaannya.

Semalam Husam mendakwa AKSB sebenarnya telah gagal meningkatkan kualiti bekalan air di Kelantan walaupun beberapa loji air utama telah dinaik taraf. Husam memberi contoh naik taraf Loji Rawatan Air Jeli bertujuan mencapai 10 juta liter (JLH) air sehari dengan kos RM21 juta, namun hanya mencapai 6.6 JLH.

Begitu juga naik taraf loji rawatan air Bukit Remah, Tanah Merah dengan kos RM16.4 juta bagi meningkatkan pengeluaran kepada 42 JLH tetapi pencapaian 36.6 JLH. Demikian juga beberapa loji yang lain.
Selain itu Husam turut meminta agar AKSB diaudit oleh satu badan bebas.

Pada satu ketika Husam yang tidak berpuas hati dengan kenyataan anggota Exco berkenaan kemudiannya bangun sambil berkata: "Jangan sampai saya dedahkan banyak perkara lagi di dewan ini".

Mengenai kelulusan di hutan simpan kekal, Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob menjelaskan kelulusan belum diberikan kepada mana-mana pihak dan berkemungkinan ia tidak akan diluluskan kerana di kawasan berkenaan terdapat tadahan air serta kaya dengan kepelbagaian hayat.

Mengulas keadaan di dewan itu, ketua pembangkang, Datuk Nozula Mat Diah (BN-Paloh) berkata tidak pernah berlaku sebelum ini serangan antara penyokong kerajaan seperti itu.

"Saya rasa akan banyak kepincangan yang akan didedahkan oleh kedua-dua pihak ini," katanya. Dewan kemudian meluluskan Belanjawan 2014 itu dan persidangan bersambung esok bagi meluluskan beberapa enakmen lain.

-BERNAMA

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP