Sunday 6 October 2013

Lagi rusuhan kaum jika Melayu kekal miskin

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) tidak menolak kemungkinan satu lagi rusuhan kaum akan tercetus sekiranya kaum Melayu masih kekal miskin di negara ini sambil mahu pembelaan segera daripada kerajaan selain program pemerkasaan ekonomi Bumiputera yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata kebajikan orang Melayu yang merupakan 60% daripada 28 juta populasi rakyat Malaysia perlu diberi perhatian dengan menjamin keselamatan dan kestabilan politik mereka.


“Apa jaminan yang dapat kerajaan berikan tiada rusuhan kaum seperti 13 Mei 1969 sekiranya orang Melayu kekal tidak mendapat pembelaan?

“Rusuhan kaum pada 1969 tercetus akibat pengagihan kek ekonomi yang tidak adil antara kaum. Orang Melayu masih gagal mendapat pegangan ekonomi 30% meskipun negara telah mencapai kemerdekaan selama 56 tahun.

“Inilah yang kerap saya katakan kepada pemimpin Umno. Apa gunanya Kuala Lumpur mempunyai bangunan pencakar langit dan pembangunan infrastruktur tetapi kaum Melayu masih tidak membangun dari segi ekonomi,” katanya dalam satu wawancara khas bersama The Malaysian Insider di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ibrahim berkata kaum Melayu memerlukan bantuan tambahan berikutan persekitaran ekonomi yang semakin mencabar atas dasar dunia tanpa sempadan.

Katanya, kemurahan hati dan sifat tolak-ansur orang Melayu membolehkan kaum lain mencari rezeki di negara ini malah warga asing juga mampu hidup mewah di Malaysia.

“Kerajaan masih membantu kaum Cina dan India yang miskin seperti menawarkan biasiswa, sumbangan wang tunai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan pelbagai insentif lain yang diberikan kepada semua rakyat Malaysia.

“Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan juga menyatakan Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan kaum Bumiputera di Sabah dan Sarawak.

"Lebih banyak bank dan skim pembiayaan khas perlu disediakan kepada kaum Melayu supaya lebih ramai akan bergiat dalam bidang perniagaan sekaligus dapat berkhidmat kepada masyarakat," katanya.

Pada 14 September lalu, Najib mengumumkan program pemerkasaan ekonomi Bumiputera bagi meningkatkan lagi pengangan ekonomi kaum itu yang ketinggalan sejak pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada awal 1970-an lagi.

Pendekatan yang diumumkan Najib adalah seperti melaksanakan penswastaan kepada agensi kerajaan dan memberikan lebih kontrak kepada firma Bumiputera.

Dalam majlis itu juga, Perdana Menteri mengumumkan untuk meningkatkan daya keusahawanan, pemilikan rumah dan peluang meningkatkan peluang pendidikan dan pekerjaan kepada kaum itu.- TMI

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP