Sunday 6 October 2013

Laporan Audit: Sampai bila mahu begini?

Kalau pendedahan kajian Ernst and Young minggu lalu tidak lagi menjadikan kita geram, marah dan berang, Laporan Ketua Audit Negara yang dibentang minggu ini mungkin juga tidak lagi menimbulkan apa-apa reaksi keras dari rakyat.

Ya, mungkin saja sebahagian besar rakyat sudah mangli atau bosan dengan paparan seperti ini. Mungkin ada juga yang mula merasakan khasnya yang nekad memilih Umno-BN juga kerana takut kepada pemerintahan baru yang mengkesampingkan Melayudan Islam, telah mula berasa tertipu.


Propaganda menakut-nakutkan rakyat reda tak dimainkan sehebat ketika berkempen.Tampak jelas adalah dari hal janji-janji sebelum pilhanraya semakin menyerlahkan belang sebenarnya. Satu persatu semacam dirungkaikan.

Antaranya; isu subsidi petrol dan diesel yang janjinya tidak mahu membebankan rakyat, Akta Pencegahan Jenayah atau Preventive Crime Act (PCA) jelmaan baru ISA yang dulunya mahu dihapuskan, cukai GST yang tidak akan dilaksanakan disebut-sebut akan dimasukkan dalam Budget 2014, perbekalan tambahan sebanyak RM14 bilion yang memburukkan lagi defisit fiskal meskipun yang dijanji adalah perbelanjaan berhermat kerajaan untuk mengurangkan defisit belanjawaan.

Janji PM Najib untuk memerangi rasuah sudah sedia dimaklumi rakyat. Ia adalah semacam sumpahnya dalam pelancaran NKRA dan Pemandu bertanggungjawab mempastikan janji dan sumpahnya ditunaikan. Najib nyata gagal!

Terkini, Ernst and Young, salah satu daripada empat firma audit terbesar di dunia, dalam kajian mereka ‘Asia-Pacific Fraud Survey Report Series’, mendapati Malaysia adalah antara negara paling korup di antara yang dikaji selidik.

Dapatan yang lebih mendetail boleh ditekuni dalam website E&Y (www.ey.com/publication) yang melibatkan 681 pegawai eksekutif China, Singapura, Australia, New Zealand, Indonesia, Vietnam, Korea Selatan dan Malaysia.

Pendedahan keputusan kajian ini adalah sangat memalukan Najib dan Pemandu. Dapatan ini mengaibkan rakyat di negara ini. Jelasnya dalam satu soalan yang ditanya: Apakah anda bersedia melakukan rasuah dan mengambil jalan-jalan pintas, seandai suasana persekitaran perniagaan menekan, 54% eksekutif di Malaysia mengesahkan mereka bersedia, diikuti China 34%, Indonesia 29%, Vietnam 27%, New Zealand 13%, Singapura 11%, Australia 10% dan Korea Selatan 6%. Ternyata kita pada ranking teratas – juara!

Untuk pengetahuan umum, pertama kali kajian agensi antarabangsa anti-rasuah ‘Transparency International’ menerbitkan ‘Indeks Persepsi Rasuah’ (CPI) pada tahun 1995, Malaysia diletakkan pada ranking ke-23 dari 43 negara seluruh dunia yang dibuat kajian.

Kedudukan Malaysia dalam Negara-negara Asia-Pasifik adalah pada tangga ke-6, selepas Jepun (5), Hong Kong (4), Australia (3), Singapura (2) dan New Zealand yang menduduki tangga Pertama. Markah yang kita perolehi ialah 5.28, dimana markah 10 paling bersih dan 0 paling korup.

Selepas 17 tahun, dalam laporan CPI tahun 2011, dengan pelbagai program, kempen dan kaedah termasuk sejak Najib ambil aleh pada 2009, kedudukan Malaysia jatuh ke tangga 11 di Asia-Pasifik dengan markah 4.3 dan ke-60 di dunia. Adalah diakui bahawa Malaysia membuat sedikit penambahbaikan dalam laporan 2012.

Berlatarbelakangkan laporan CPI dan pendedahan tahun demi pendedahan dalam laporan Ketua Audit Negara termasuk yang terkini 2012, rakyat Malaysia sudah bosan dan kini hanya mahukan komitmen daripada Najib untuk bertindak.

Betul bukan semua melibatkan rasuah atau penyelewangan namun kesemuanya paling tidaknya melibatkan ketidakpatuhan dan kecuaian dan paling buruknya ialah salah guna kuasa dan rasuah.

Daripada pertikaian kontrak kempen Kementerian Kesihatan di Facebook dan Twitter yang melibatkan belanja sebanyak RM320,000, walkie-talkie sehinggalah ke kontrak keselamatan 35 sekolah yang tidak memuaskan menelan RM2.05 bilion.

Daripada PDRM kehilangan 44 senjata api, kenderaan dan sampai pembelian 7,669 pasang kasut yang tidak sesuai, tidak boleh guna dan rosak menelan kos RM600,000.

Pembelian 55 lukisan sebagai pelaburan mungkin yang tidak dipamerkan oleh Khazanah Nasional dengan kos RM3.05 juta sehinggalah bayaran RM1.6juta kepada artis K-Pop yang sangat dipertikaikan mengapa mesti dibayar Kementerian Belia dan Sukan.

Monopoli oleh 3 syarikat penyelenggara 64 bangunan Persekutuan yang kos RM1.447 bilion dibangkit Ketua Audit seperti juga pembelian jam dinding oleh RTM pad harga RM3,810 setiap satu sementara di pasaran pada harga RM100. Cerita ini mengulangi kembali tentang cerita skrew driver di bayar ribuan ringgit.

Kesemuanya termaktub dalam erti tuntutan untuk diaudit tata-kelola Akta Badan Berkanun (Akta dan Laporan Tahunan) 1980 (Akta 240).

Berapakah jumlah kerugian dan ketirisan dalam laporan tahun ini? Apakah yang terlibat akan diadili dan kalau sabit dihukum? Apakah jaminan Najib bahawa ia tidak lagi menjadi retorik politik dan pilihanraya sahaja?

Sekarang rakyat mahukan kerajaan Najib dan BN memberi jaminan bahawa tindakan akan diambil dan amalan buruk yang telah ‘membudaya’ atau lebih tepat ‘membarah’ ini akan dapat ditangani secara serius dan berkesan.

Kegiatan audit oleh Jabatan Audit Negara tidak lagi boleh dijadikan satu amalan rutin tahunan yang tidak membawa apa-apa manfaat pun kepada amalan tadbir-urus negara. Mesti ada komitmen untuk benar-benar berubah. Tak perlu lagi kepada slogan-slogan baru.

Kebejatan ini mesti ditamatkan segera dan segala penambahbaikan yang diperlukan untuk memulihkan tata-kelola dan pengurusan dikesemua badan dan seuruh jentera kerajaan dalam Persekutuan ini mesti ditangani.

Dalam bahasa hari ini, cukup-cukup sudah, sepatutnya cukup di sini sahja kerajaan ini ! Enuf is Enuf! PM mesti beri jaminan kepada seluruh rakyat bahawa Laporan Audit Tahun depan akan mengalami penambahbaikan yang ketara mengikut KPI yang Najib perlu letakkan sendiri.

Rakyat telah tertipu dengan slogan-slogan molok sebelum pilihanraya dan rakyat tidak mahu terus tertipu!

Sampai bila mahu begini?

- Dr Dzulkefly Ahmad

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP