Monday 21 October 2013

Program Angkasa Lepas - Setelah 6 Tahun, Mana Hasilnya?

Oleh: Dr Azman Ibrahim 

Hari ini genap 6 tahun kepulangan rakyat Malaysia pertama dari angkasa. Tanggal 21 Oktober 2007, Angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha selamat kembali ke Bumi selepas 10 hari berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Kapsul Soyuz TMA-10 mendarat di Arkylk, Kazakhstan pada pukul 2.37 petang waktu tempatan (6.37 petang waktu Malaysia), selepas melalui perjalanan 3 jam 23 minit dari ISS.


Program yang didakwa menelan belanja ratusan juta ringgit tetapi Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Maximus Ongkili ketika memberikan jawapan di Parlimen pada 6 Mei 2008 memaklumkan bahawa kos sebenar program angkasawan negara yang pertama ialah sebanyak RM39.11 juta.

Diberitakan bahawa sepanjang 10 hari semasa berada di ISS, Dr. Sheikh Muszaphar telah melakukan penyelidikan antaranya melibatkan sel kanser dan leukemia di stesen angkasa itu.

Penyelidikan yang diistilahkan sebagai ‘penyelidikan mikrograviti’ dikategorikan secara saintifiknya sebagai penyelidikan bermutu tinggi.

Setelah kepulangan beliau ke bumi, dimaklumkan hasil penyelidikan tersebut telah dihantar ke Jepun untuk dianalisa.

Kalau pun kosnya bukan ratusan juta sebagaimana didakwa, hakikatnya hampir RM40 juta wang negara yang telah dibelanjakan adalah satu jumlah yang sangat besar.

Setelah enam tahun berlalu, saya mungkin antara ramai pembayar cukai yang berminat untuk mengetahui apakah finding (penemuan) hasil penyelidikan tersebut yang boleh dimanfaatkan oleh rakyat?

Ketika saya berkhidmat sebagai tenaga akademik di sebuah universiti tempatan dulu, selalu saya nyatakan kepada rakan-rakan, apa sahaja penyelidikan yang kita lakukan dengan menggunakan geran penyelidikan yang diambil dari wang rakyat, pastikan kita mampu menghasilkan sesuatu untuk faedah rakyat, dengan makna kita mampu memulangkan kembali wang rakyat yang diambil dengan nilai manfaat yang bakal mereka perolehi.

Walaupun cara pemikiran saya agak kekampungan, tetapi secara tegas saya nyatakan, saya anti dengan penyelidikan yang cuma di atas kertas yang akhirnya dapat dimanfaatkan sekadar untuk rekod pencapaian peribadi penyelidik.

Bila nak memohon untuk kenaikan pangkat, kita akan kemukakan “Ini senarai research yang pernah saya buat!” lantas, dari seorang pensyarah biasa boleh naik pangkat jadi pensyarah kanan, professor madya dan seterusnya professor. 

Kadang-kadang ada pensyarah yang langsung tak terlibat dengan sesuatu research tetapi tetap meminta supaya nama mereka dimasukkan sama dalam senarai penyelidik untuk projek tersebut.

Beginilah gambaran pentingnya nilai research bagi seorang tenaga akademik di universiti. Sebenarnya bukan sedikit wang rakyat yang diperuntukan untuk geran penyelidikan.

Kalau geran jangka pendek, jumlahnya sekitar RM25,000 sementara geran jangka panjang boleh mencecah RM100,000 untuk satu-satu projek. Bagi pihak pengurusan dan pentadbiran universiti pula, adalah suatu kebanggaan bagi mereka apabila universiti yang mereka tadbir diiktiraf sebagai ‘Universiti Penyelidikan’.

Berbalik semula kepada Projek angkasawan Pertama Negara, permintaan rakyat biasa seperti saya mudah sahaja.

Diharapkan selepas enam tahun ianya berlalu, pihak yang berkenaan tolong umumkan hasilnya secara nyata dan bukannya teori semata-mata kepada kami. Terima kasih.

*Penulis adalah Pengerusi Lujnah Pengguna Pas Terengganu

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP