Thursday 10 October 2013

Shabery Cheek Terlibat Rasuah?

DAP mahu dakwaan penyelewengan dana awam membabitkan kos penganjuran Hari Belia Negara seperti yang didedahkan Laporan Ketua Audit Negara 2012 disiasat dan diambil tindakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sehubungan itu, Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong hari ini membuat laporan kepada SPRM mengenai isu perbelanjaan yang menimbulkan banyak tanda tanya itu.


Beliau yang juga Pengarah Pendidikan Politik Pemuda DAP berkata, penekanan bukan sahaja kepada jumlah RM1.6 juta kos membawa artis K-Pop sahaja, malah kos keseluruhan yang terlampau tinggi yang disyaki berlaku penyelewengan.

“Saya percaya Khairy Jamaluddin tidak bersalah tapi beliau menghadapi kesulitan mengambil tindakan terhadap ahli parti sendiri,” ujar beliau dalam kenyataannya mengulas tindak balas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang enggan menjawab pertanyaan berulang beliau mengenai kos terbabit.

Menurut Steven, diam diri Khairy Jamaluddin merupakan satu petunjuk senyap untuk merelakan pihak lain mengambil tindakan selanjutnya.

“Justeru kami membantu Khairy Jamaluddin menyelesaikan masalah dalaman yang beliau warisi daripada mantan Menteri Belia dan Sukan dengan membuat laporan SPRM,” ujar beliau lagi yang turut disertai Ketua DAPSY Bukit Bendera, Haris Zuan dan beberapa ahli muda DAP.

Menurut beliau lagi, berdasarkan kronologi pendedahan berkaitan penganjuran Hari Belia Negara yang berlangsung pada akhir Mei tahun lalu; kos keseluruhan HBN 2012 yang diketahui setakat ini ialah RM67.61 juta, iaitu purata RM13.52 juta untuk sehari program.

Menyifatkan kos itu sebagai melampau, Steven turut memberitahu bahawa Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang mendapati terdapat perbelanjaan HBN 2012 yang dibuat secara tidak berhemat (Aktiviti Kementerian/Jabatan dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan Siri 2, Jadual 16.14, muka surat 376).

Wujud juga kenyataan bercanggah antara tiga pihak iaitu Laporan Ketua Audit Negara 2012, Khairy Jamaluddin dan Ahmad Shabery Cheek tentang kos artis K-Pop sebanyak RM1.6 juta sama ada ditaja swasta atau dibayar kerajaan.

SPRM digesa membuat siasatan tanpa was-was termasuk ke atas Ahmad Shabery untuk memastikan tiada unsur rasuah atau penyelewengan dalam penganjuran Hari Belia Negara 2012.

Haris Zuan yang juga Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Bukit Bendera pula mengatakan bahawa SPRM patut memain peranan yang pro-aktif dalam menyiasat duit rakyat yang dibazirkan.

“Laporan Ketua Audit Negara setiap tahun mendedah pembaziran duit rakyat tetapi tiada sesiapa pun dibawa ke makhamah. Kerajaan perlu bertanggungjawab terhadap perbelanjaan duit rakyat,” katanya.

- Roketkini

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP