Thursday 31 October 2013

Umno Layan Rakyat Macam Roti Canai


JERAI - Bekas pelakon dan penulis lirik terkenal, Bob Lokman mengingatkan seluruh pengundi Dun Sungai Limau agar mengambil iktibar apa yang telah berlaku selepas Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.

Tampil di pentas ceramah PAS di Padang Lumat, Batu 16 di sini malam tadi, Bob atau nama sebenarnya Muhammad Hakim Lokman, melontar persoalan adakah rakyat di negara ini tidak serik diperlakukan seperti "roti canai" oleh Umno BN.


"Mula-mula dia uli tepung penuh kelembutan, campur majerin, jadikan kecil-kecil sebesar penumbuk, sapu minyak, tutup dengan tuala good morning, perap dan simpan tempat sejuk.

"Tapi bila nak makan, dia cengkam satu-satu, hempas atas meja, lenyek-lenyek, tarik-tarik, kemudian bakar atas tempat panas," katanya.

Menurut beliau, itulah cara Umno melayan rakyat selama ini dengan membelai penuh kasih sayang ketika kempen, namun selepas pilihan raya, rakyat dijadikan mangsa.
Beliau memberi contoh janji BN sebelum PRU13 lalu yang berjanji tidak akan menaikkan harga petrol dan barangan lain, namun selepas pilihan raya, petrol dan terbaru harga gula naik serta merta.

Itu belum lagi dengan perlaksanaan cukai GST, yang sebelum ini dicanang tidak akan dilaksanakan, namun selepas pilihan raya semuanya berubah.

"Waktu kempen PRU13 lalu saya dah kata jangan undi BN nanti minyak naik, gula naik, tapi ramai tak nak dengar.

"Jadi sekarang saya nak kata apa lagi. Cukup la, jangan sebab dapat kain sarung, helmet, kita lupa apa yang dah mereka buat.

"Jangan la kita jadi macam roti canai," katanya.

Turut berceramah sepentas dengan beliau malam tadi termasuk Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat Aiman Atirah Al-Jundi, serta Timbalan Pesuruhjaya II PAS Terengganu Muhyidin Abdul Rashid.

Semalam adalah malam kedua Bob Lokman hadir membantu kempen PAS di Sungai Limau di sini.

Pada 2011 lalu, Bob mengumumkan menyertai PAS dan telah menyerahkan borang keahliannya kepada mantan Menteri Besar Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Razak yang juga bekas Adun Sungai Limau dalan satu majlis di negeri ini.

Harakahdaily

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP