Tuesday 26 November 2013

Mahfuz 'Lepas Geram' Di Parlimen

KUALA LUMPUR: Kegagalan Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) mempertahankan jawatan naib presiden dalam pemilihan parti yang diumum semalam, menjadi bahan usikan beberapa penyokong kerajaan di Dewan Rakyat hari ini sekali gus mencetuskan kekecohan.

Mereka menyifatkan Mahfuz yang membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2014 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pertahanan, berucap seolah-olah "melepas geram".


Mahfuz yang dalam perbahasannya menganggap kerajaan tidak serius menjaga kebajikan tentera kedengaran berkata: "Walaupun tak ada jawatan, saya datang sini pagi-pagi untuk lawan Umno".

Kenyataannya mendorong Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) bangun mencelah dengan mengatakan walaupun kalah, Mahfuz masih bersemangat dan ternyata anggota PAS silap kerana tidak mengekalkannya sebagai naib presiden parti itu.
Datuk Seri Noh Omar (BN-Tanjong Karang) yang turut bangun mencelah berkata PAS sendiri gagal menguruskan pemilihan parti dengan baik sehingga Mahfuz gagal mempertahankan jawatan itu.

"Saya dengar ucapan Pokok Sena ada bernasnya, tetapi peliknya orang PAS tidak pilih. Dok (Sibuk) cakap pengurusan negara, kewangan dan tanah, yang PAS urus pilihan raya parti pun tak betul pasal apa?

"Jadi, sebab pengurusan parti tidak betullah Yang Berhormat (YB) kalah, mungkin kalau kira kali keempat YB boleh menang," katanya.

Sindiran Noh itu menyebabkan Mahfuz membalas dengan menyasarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai "pekak badak" kerana tidak mendengar aduan berhubung proses pilihan raya umum baru-baru ini.

"SPR orang dah beritahu berpuluh kali, tunjuk perasaan pun tak reti, pekak badak...mereka (penunjuk perasaan) kena tangkap, sembur dengan gas pemedih mata pun buat tak reti juga," katanya.

Keputusan pemilihan PAS yang diumum semalam menyaksikan Mahfuz kalah dengan perbezaan 16 undi kepada Datuk Husam Musa yang meraih tempat ketiga selepas menerima 520 undi.

Dua lagi jawatan naib presiden dimenangi oleh Salahuddin Ayub (917 undi) dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (849 undi).
Persidangan Dewan bersambung esok. BERNAMA


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP