Tuesday 26 November 2013

PANAS - Pemimpin 11 cabang PKR Sabah keluar parti

KUALA LUMPUR - Pemimpin 11 cabang PKR Sabah mengambil keputusan untuk keluar parti hari ini dan menyokong Barisan Nasional (BN).

Mereka terdiri daripada ketua cabang, timbalan ketua cabang dan ketua penerangan cabang parti itu dari Kudat, Kota Marudu, Kota Belud, Sepanggar, Pensiangan, Beluran, Kinabatangan, Batu Sapi, Silam, Kalabakan dan Semporna.


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada sidang media di sini berkata mereka mengambil keputusan itu kerana sudah hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap kepimpinan PKR dan memberi kepercayaan kepada kepimpinan BN di peringkat nasional dan negeri.

Beliau berkata gelombang kedua akan berlaku tidak lama lagi apabila banyak lagi pemimpin PKR Sabah akan keluar parti dan menyokong BN.

"Dengan apa yang sudah berlaku dan akan berlaku bererti bahawa parti PKR di Sabah hampir lumpuh dan sebaliknya parti BN semakin kuat, semakin utuh dan semakin mendapat kepercayaan rakyat Sabah," katannya.

Mereka yang hadir pada sidang media itu ialah Akhmain Sabtu (Ketua Cabang PKR Kudat), Anthony Mandiau (Ketua Cabang Kota Marudu), Juhani Abd Halim (Ketua Cabang Silam), Mohd Jun (Ketua Cabang Kalabakan), Mustapha Tambuyung (Ketua Cabang Kinabatangan), Lokman Ureh (Ketua Cabang Semporna), Timothy Lim (Ketua Cabang Sepanggar), Apandy Sipin (Ketua Cabang Pensiangan) dan Aris Remigius (Ketua Cabang Batu Sapi), Angki Addek (Timbalan Ketua Cabang Kota Marudu) dan Soloh Yuna (Ketua Penerangan Kota Belud).

Hanya wakil Beluran tidak hadir.

Turut serta ialah dua anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) yang mengisytiharkan keluar parti pada 4 Nov lepas iaitu Adun Matunggong Datuk Jelani Hamdan dan Adun Kedamaian Jeremy Malajad.

Najib berkata turut sama mengisytiharkan keluar parti pada hari ini ialah bekas anggota Parlimen Bandau Henry Madatang dan calon PKR Parlimen Papar pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Jomi Kamadan.

Beliau telah dimaklumkan banyak lagi dalam kalangan penyokong pemimpin-pemimpin PKR itu akan turut serta keluar parti dan memberi sokongan kepada BN.

"Saya ingin ucapkan terima kasih kepada mereka atas keyakinan untuk mengalih sokongan kepada BN dan ini menggambarkan usaha kita untuk melakukan perubahan dan transformasi kepada negara khususnya Sabah, mendapat kepercayaan dan keyakinan mereka.

"Mudah-mudahan dengan ini BN akan dapat berkhidmat dengan lebih berkesan kepada rakyat Sabah," katanya.

Najib berkata tindakan mereka keluar parti tidak sekali-kali dipengaruhi BN.

"Tak mungkin, sebab mereka sudah hilang kepercayaan (kepada parti PKR), itu pokoknya," katanya.

Ditanya sama ada PKR akan terus lumpuh dengan perkembangan itu, beliau berkata PKR akan cuba mengumpulkan semula kepimpinan parti itu di Sabah tetapi kekuatan sebenar parti terletak kepada pemimpin yang keluar PKR hari ini dan mereka yang bakal keluar parti. - Bernama




PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP