Sunday 12 January 2014

Cadangan Bodoh Zam Maidin

Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin mahu Tun Dr Mahathir Mohamad kembali ke Putrajaya untuk membantu kerajaan persekutuan Barisan Nasional (BN) menangani isu perkauman, agama dan ekonomi yang meruncing.

Beliau berkata, cadangan itu bukan untuk bekas perdana menteri yang paling lama berkhidmat itu untuk mengambil teraju kepimpinan negara daripada Datuk Seri Najib Razak, tetapi untuk membantu beliau berdepan dengan isu semasa yang sedang memarak dalam negara.


“Kabinet perlu membuat keputusan segera untuk memberi tempat kepada Dr Mahathir untuk memastikan beliau dapat memainkan peranan memberi sokongan moral kepada perdana menteri untuk mengukuhkan undang-undang negara dan mengembalikan keyakinan rakyat sebelum membawa semula ISA,” katanya merujuk kepada cadangan undang-undang drakonian, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dikembalikan.

“Pengalaman Dr Mahathir selama lebih 20 tahun dalam mengendalikan masalah negara, terutama dalam terma keselamatan, tidak patut dibazirkan,” katanya menerusi tulisan di blog Zamkata, hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak secara terperinci memberitahu jawatan apa yang patut diberikan kepada Dr Mahathir dalam kerajaan.

Dr Mahathir yang mengetuai negara dari 1981 hingga 2003 itu mencadangkan kepada Putrajaya untuk mengembalikan ISA bagi mengawal kumpulan “minority ekstremis”, yang didakwanya menjejaskan kestabilan negara.

“Untuk ekstremis seperti kumpulan itu, kita perlu ISA,” kata Dr Mahathir kepada wartawan pada Khamis selepas menjadi tetamu dalam rancangan Hello On Two di RTM2. Cadangannya itu mendapat sokongan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang berharap ISA diperkenalkan semula selepas dimansuhkan, dua tahun lalu.

“Ya, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) mencukupi, tetapi apa salahnya dengan ISA?

“Kedua-dua undang-undang itu sesuai untuk sebab berlainan. Sebagai pegawai penguatkuasa undang-undang, saya mengalu-alukan undang-undang yang boleh membantu saya mengekalkan keselamatan dalam negara dan ketenteraman awam,” katanya.

Sejak Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) Mei tahun lalu, terdapat penyokong Dr Mahathir, termasuk veteran Umno dan blogger yang mendesak supaya bekas perdana menteri itu kembali kerana masih ramai ingat kepimpinan Dr Mahathir yang tegas dalam membuat keputusan sehingga memimpin kepada kerajaan lebih kuat.

Zainuddin, yang juga bekas ketua pengarang Utusan Malaysia yang diserap ke dalam kerajaan pada zaman pemerintahan Dr Mahathir, berkata jika Najib dan Kabinet sanggup mengambil tindakan itu, maka perdana menteri tidak akan dilihat sebagai pemimpin lemah tetapi negarawan sebenar yang meletakkan kepentingan rakyat di depan kepentingan sendiri.

“Dr Mahathir bukan patut diminta, tetapi dipaksa mengambil tanggungjawab kerana Allah mengurniakannya kesihatan baik dan umur panjang untuk diberi peluang menyelamatkan negara,” katanya.

Beliau berkata, pengembalian ISA tidak membawa makna jika tidak disertakan dengan keinginan politikan atau semangat kuat, berani dan bijak untuk melaksanakan undang-undang itu. Sebaliknya, apa yang penting ialah memberi tempat kepada Dr Mahathir dalam kerajaan.

“Bukan ISA yang perlu dihidupkan semula tetapi Dr Mahathir diperlukan untuk memberi nasihat semula,” katanya.

Menjelang 2014, ketegangan berlaku lagi berhubung isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam sementara kumpulan Islam bertegas perkataan Allah itu adalah eksklusif untuk Islam.

Keadaan bertambah rumit dengan serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di premis Persatuan Bible Malaysia (PBM) yang merampas lebih 300 salinan Alkitab dan Bup Kudus, iaitu Bible berbahasa Melayu dan Iban.

Dua pempin PBM juga ditahan dalam serbuan itu. Serbuan itu dilihat sebagai tindakan balas terhadap kenyataan editor Herald, Paderi Lawrence Andrew bahawa semua gereja di Selangor akan terus menggunakan Allah dalam upacara keagamaan yang diadakan dalam bahasa Malaysia, susulan daripada amaran Jais.

Lawrence juga disiasat polis atas kenyataan itu dan beliau mungkin didakwa kerana menghasut.

Walaupun cendekiawan Islamik global menjelaskan bahawa terma itu boleh digunakan oleh sesiapa, pihak berkuasa agama negeri di Malaysia bertindak secara negatif terhadap laporan mengenai gereja yang menggunakan perkataan Allah dalam upacara dan bahasa kepada komuniti Kristian berbahasa Malaysia.

Bagaimanapun, pengkritik mendakwa keseluruhan kontroversi itu adakan cubaan untuk mengalih perhatian rakyat daripada masalah ekonomi negara berikutan kenaikan kos sara hidup susulan daripada peningkatan harga barang dan potongan subsidi.

Penganut Kristian membentuk kira-kira 9% daripada 29 juta populasi Malaysia. Hampir dua pertiga penganut Kristian di Malaysia adalah Bumiputera dan kebanyakannya berada di Sabah dan Sarawak yang secara rutin menggunakan bahasa Malaysia dan bahasa suku ketika mengamalkan agama, termasuk menggambarkanTuhan sebagai Allah dalam sembahyang dan kitab suci.

Selain Kristian Bumiputera dari Sabah dan Sarawak, sebahagian daripada mereka sudah berpindah ke semenanjung untuk menetap atau bekerja, penganut Kristian di kalangan Orang Asli di semenanjung juga lazimnya menggunakan bahasa Malaysia untuk bersembahyang. –


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP