Wednesday 8 January 2014

Pemimpin Wanita Umno dapat RM13 juta tanpa berbuat apa-apa dalam kontrak tidak sah

Seorang pemimpin Wanita Umno didakwa menerima RM13 juta tanpa berbuat apa-apa melalui syarikatnya Awan Megah Sdn Bhd selepas kontrak membina Pusat Pendidikan Pertahananan  Nasional (Puspahanas) dan perjanjian  tanah yang dibuatnya dengan kerajaan dua tahun lalu batal.

Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli (gambar) berkata hari ini, syarikat yang dimiliki Datuk Raja Ropiah Raja Abdullah bersama Bousted Holding Berhad sepatutnya memenuhi beberapa syarat sebelum Mac 2013, tiga bulan selepas perjanjian ditandatangani pada Disember 2013.


"Bagaimanapun sehingga sekarang, tiga syarat di bawah perjanjian Bousted untuk membeli sekeping tanah di Selangor daripada Awan Megah telah tidak dipenuhi," katanya.

Syarat yang dimaksudkan termasuk, menandatangani kontrak swasta baru untuk membina Puspahanas, kelulusan daripada kerajaan Selangor untuk memindahkan tanah serta penamatan perjanjian usaha sama antara Awan Megah dan Guppyunip Sdn Bhd.

Rafizi mendedahkan bahawa beliau mendapat tahu tentang syarat-syarat ini selepas melihat dokumen perjanjian antara Boustead dan Awan Megah kerana beliau sendiri adalah pemegang saham Boustead.

Kementerian Pertahanan berkata dalam sidang Parlimen pada 10 Oktober tahun lepas, bangunan itu dianggarkan siap Oktober tahun ini.

Namun mereka juga menyatakan bahawa Awan Megah masih belum mengeluarkan perjanjian tanah kerana kerajaan Selangor enggan memberikan tanah.

"Oleh kerana perjanjian tanah tidak diberi, pembangunan Puspahanas diteruskan dengan kontrak yang tidak wujud dan Awan Megah diberi wang percuma kerana wang deposit sebanyak RM13 juta yang dibayar tidak dikembalikan," tambah Rafizi.

"Saya sangat hampa dengan Menteri Pertahanan dulu dan sekarang (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishamuddin Hussein) yang tidak mengambil kisah tentang kemarahan rakyat apabila berjuta-juta wang mereka dibazirkan dalam projek seperti ini.

"Sementara itu, rakyat pula disuruh agar jangan makan gula, jangan menggunakan jalan raya bertol dan macam-macam lagi," katanya

Rafizi berjanji untuk membangkitkan isu ini kepada Ketua Auditor dan akan menyarankan beliau menyemak semula perjanjian projek Puspahanas.

Sebelum ini, Rafizi pernah menyatakan bahawa Raja Ropiah mengaut keuntungan berjuta-juta ringgit daripada fasal tersembunyi dalam rancangan kerajaan Wilayah Persekutuan untuk membeli tanah di Bukit Raja, Klang.

Pada 2012, Boustead mengumumkan rancangan mereka untuk membeli 80% saham syarikat milik Deepak Jaikishan, Astacanggih Sdn Bhd, sebanyak RM30 juta serta sebidang tanah daripada Awan Megah sebanyak RM130 juta.

Rafizi mendakwa Menteri Pertahanan telah menganugerahkan Awan Megah kontrak berjumlah RM15 juta melalui surat bertarikh 26 Jun 2012.

Awan Megah juga telah dianugerahkan 23.2 ekar tanah daripada tiga bidang tanah asal sekitar 223.2 ekar, di mana harga tanah tersebut mencecah jutaan ringgit.

Sebelum ini, Rafizi pernah mendakwa bahawa tanah tersebut tidak pernah diagihkan kepada Awan Megah.

Rafizi juga mengatakan perjanjian yang rumit melalui pelbagai syarikat dan kontrak adalah secara sengaja untuk menutup percanggahan yang terdapat dalam projek tersebut.

Tahun lepas, Rafizi telah menyaman Ahmad Zahid yang mendakwa ahli PKR telah menuduh beliau menyalah gunakan kuasanya sebagai Menteri Pertahanan ketika mengambil alih Astacanggih dan tanah daripada Awan Megah.

Namun, saman itu ditarik balik apabila Rafizi berkata beliau berpuas hati dengan penerangan Ahmad Zahid yang beliau tidak menyalahgunakan kuasa atau mempunyai sebarang kaitan dengan perjanjian Boustead. – tmi

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP