Monday 20 January 2014

Projek Bodoh Malaysia Ke Antartika

Tak perlu ke Antartika, tengok kampung sendiri

KUALA TERENGGANU – Pemimpin Pas mempersoalkan kepakaran dan latar belakang Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang mengetuai lawatan kerja melibatkan kajian kesan perubahan cuaca dan alam sekitar ke Antartika bermula 18 Januari lalu hingga 2 Februari ini.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Tengku Ahmed Shah berkata, perkara itu menjadi tanda tanya memandangkan ia dianjurkan Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar yang sepatutnya diketuai menteri atau pakar berkaitan.


Menurutnya, jika benar Ahmad prihatin terhadap alam sekitar, tindakan yang perlu diambil adalah melihat kampung sendiri di Kemaman terlebih dahulu dan prihatin terhadap isu alam sekitar di Terengganu termasuk Tasik Kenyir.

“Projek yang diilhamkan sendiri oleh Menteri Besar di Kenyir iaitu projek Kompleks Bebas Cukai bernilai beratus juta tetapi dilakukan dengan cara tidak betul sehingga menjejaskan alam sekitar kawasan hutan semula jadi Kenyir.

“Saya tengok sendiri tahun lepas. Untuk projek di kawasan eko-tourism sebegini sepatutnya pokok diselamatkan dan dikekalkan dan bangunan hanya dibina di celah pokok hijau. Ini adalah prinsip utama garis panduan projek di kawasan hutan eko-tourism,” katanya kepada pemberita di Pejabat Parlimen Kuala Terengganu, di sini, semalam.

Jelasnya, banyak isu alam sekitar di peringkat tempatan khususnya di negeri ini yang perlu ditangani tetapi tidak diambil perhatian termasuk penambakan muka kuala yang tiada kajian secara menyeluruh.

Begitu juga katanya, dengan pencemaran alam di Kemaman di bawah projek Tioxide, Perwaja Steel dan syarikat besi dari China yang mungkin akan menyebabkan kandungan kimia racun lebih tinggi apabila proses bijih besi Bukit Besi ini dibakar di Kemaman.

“Australia dan Brazil yang beratus kali lebih besar dari Malaysia tidak membenarkan pembakaran besi dengan sulfur yang tinggi dilakukan di negara mereka tetapi dieksport dan dibakar di China kerana itulah pencemaran alam negara China amat buruk.

“Kalau prihatin pencemaran alam, Menteri Besar tidak patut menerima projek yang ditolak negara lain. Beliau kerap ke China dan sedia maklum pencemaran yang teruk di sana, belajarlah dari contoh ini, tidak perlu ke Antartika untuk kaji alam sekitar atau pemanasan global. Tengok kampung dahulu,” katanya.

Ahmad mengetuai delegasi Malaysia dalam lawatan kerja tersebut yang merupakan program inisiatif Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar bertujuan membuka laluan bagi kerajaan menubuhkan sebuah stesen penyelidikan kendalian bersama dengan Instituto Antartico Chileno (Inach), Chile.

Ia juga akan meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara yang mampu menyumbang dari segi penyelidikan berkaitan perubahan cuaca dunia yang semakin tidak menentu


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP