Wednesday 15 January 2014

Selangor sedia timbang keputusan jika Giatmara baiki bangunan & latihan

Kerajaan Negeri telah membentuk Task Force di setiap Pejabat Tanah Daerah di negeri ini bagi menjalankan pemantauan dan pemeriksaan terhadap tanah-tanah milik kerajaan negeri bertujuan mengemas kini maklumat dan status.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, antara yang telah diperiksa oleh Task Force Pejabat Tanah Daerah Gombak termasuklah Pusat Latihan Kemahiran Giat Mara di Selayang yang dibina di tanah kerajaan negeri.


Beliau berkata, hasil pemeriksaan dijalankan pasukan berkenaan mendapati bangunan pusat latihan itu kurang memuaskan dan bidang latihan yang disediakan tidak produktif.

Menteri Besar berkata, beliau telah mengarahkan Pentadbir Tanah Gombak supaya mengeluarkan notis kepada Giat Mara supaya berpindah dalam tempoh setahun.

“Walaubagaimanapun, sekiranya pihak pengurusan pusat latihan itu boleh menambah baik atau menaik taraf bangunan sedia ada serta mempertingkatkan latihan-latihan yang disediakan supaya lebih produktif dan bermutu, kerajaan negeri boleh menimbang semula keputusan yang telah dibuat.

“Sekiranya pengurusan tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk menambah baik bangunan, kerajaan Selangor sedia untuk membantu,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat EXCO, hari ini.

Abdul Khalid berkata, sekiranya pihak Giat Mara mengambil keputusan untuk berpindah, kerajaan negeri akan mengambilalih pusat latihan berkenaan untuk dijadikan Pusat Latihan Industri Penerbangan yang akan menawarkan bidang Maintenance , Repair and Overhaul (MRO) pesawat-pesawat.

Beliau berkata, kerajaan negeri mempunyai perancangan untuk bekerjasama dengan sebuah syarikat antarabangsa yang terlibat dalam industri penerbangan untuk membuka pusat latihan itu kepada belia-belia tempatan.

Menteri Besar menyifatkan pemimpin-pemimpin UMNO bertindak kurang bijak apabila menuduh kerajaan negeri mengamalkan politik perkauman sedangkan di bawah Pakatan Rakyat lebih ramai rakyat terutamanya Melayu mendapat bantuan.

Sejak 2008 sehingga 2013, lebih 1.7 juta penduduk di Selangor telah menerima bantuan di bawah program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) melibatkan peruntukkan melebihi RM1 bilion.

Di bawah program MES, lebih 36,000 anak Selangor telah menerima RM1,000 sebagai hadiah masuk universiti (perbelanjaan lebih RM36 juta), lebih 100,000 warga emas menikmati program Jom Shopping (perbelanjaan lebih RM10 juta), lebih 2,000 belia menerima insentif perkahwinan dan lebih 43,000 waris warga emas menerima Khairat Kematian (perbelanjaan lebih RM105 juta).

Disediakan oleh
SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP