Saturday 4 January 2014

Tiada undang-undang untuk dakwa Father Lawrence penderhaka, kata peguam

Malaysia tidak mempunyai sebarang  undang-undang untuk mendakwa paderi Kristian dengan dakwaan menderhaka terhadap Sultan Selangor kerana melanggar perintah jangan menggunakan nama Allah, kata peguam jenayah dan hak asasi manusia.

Mereka berkata, penderhaka tidak boleh diguna pakai kerana Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi walaupun ada desakan daripada kumpulan konservatif Islam agar mendakwa Father Lawrence Andrew kerana menderhaka.


Peguam hak asasi manusia Andrew Khoo Chin Hock berkata, rakyat Malaysia kini hidup di bawah sistem raja berpelembagaan dan zaman raja berkuasa penuh sudah tiada.

"Jadi istilah menderhaka kepada raja sudah tidak berbangkit dan menjadi hak di bawah perlembagaan untuk melahirkan pandangan dengan bebas dengan syarat ia dibuat dengan bertanggungjawab.

"Ia tidak ada masalah sungguhpun jika pandangan itu bertentangan dengan apa yang dikatakan oleh seorang raja. Inilah kesannya apabila kita hidup di bawah raja berpelembagaan di mana perlembagaan adalah undang-undang tertinggi," katanya kepada The Malaysian Insider.

Khoo berkata, Perlembagaan Persekutuan telah mengambil pengajaran daripada perlembagaan negeri Selangor.

Peguam Baljit Singh Sidhu pula berkata, tidak ada undang-undang khas atau peraturan yang membolehkan tindakan diambil ke atas seseorang kerana kesalahan menderhaka.

Penal kod hanya menyatakan kesalahan kerana berperang melawan kerajaan tetapi dalam kes Father Andrew, ia tidak menyatakan sebarang kesalahan, kata Baljit seorang pensyarah
undang-undang jenayah dan penulis.

Baljit, bersama para peguam yang lain menyifatkan tindakan  mendesak agar Lawrence Andrew, editor kepada Herald, diambil tindakan kerana menderhaka adalah sesuatu yang tidak masuk akal.

Katanya, pihak yang mengajak tindakan sedemikian bertujuan untuk mendapat manfaat politik.

Penasihat peguam untuk kebebasan Eric Paulsen pula berkata, desakan terhadap Lawrence hanya sensasi sahaja.

"Mungkin sesuatu yang tidak manis untuk tidak ambil kisah dengan arahan sultan, tetapi Malaysia diuruskan melalui perlembagaan dan keluhuran undang-undang," katanya.

Bagi Paulsen, perintah sultan hanya “nasihat”.

"Desakan sesetengah pihak terhadap Lawrence hanya untuk mendapat manfaat politik dan menjadi hero di kalangan umat Islam," tambahnya.

Peguam hak asasi manusia itu berkata, istilah derhaka hanya berperanan dalam sistem raja berkuasa penuh dengan menambah,"kita tidak hidup di kurun ke-15 kesultanan Melaka dahulu."

Sinar Harian melaporkan Khamis lalu, Ketua Umno bahagian Subang Datuk Zein Isma berkata, kenyataan  Father Andrew sama dengan penderhakaan  kepada perintah Sultan Selangor.

“Ini adalah penderhakaan kepada perintah Sultan dan kami menuntut permohonan maaf,” kata Zein sebagaimana yang dipetik oleh akhbar itu.

Majlis Fatwa Kebangsaan juga melahirkan kebimbangan kerana jika tindakan tidak diambil ke atas Andrew, ia boleh membuatkan rakyat gelisah.

Menurut pengerusinya, Profesor Tan Sri Abdul Shukor Hussin sebagaimana yang dilaporkan oleh Berita Harian, suasana akan menjadi lebih buruk jika mereka tidak mematuhi undang-undang negeri.

Akhbar harian itu juga melaporkan, Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria berkata, mereka yang menghina Islam dengan melanggar keputusan mahkamah, Perlembagaan Persekutuan dan raja-raja adalah pengkhianat.

Harussani pergi lebih jauh dengan meminta kerajaan mengambil tindakan tegas termasuk memenjarakan pengkhianat dan menarik balik kewarganegaraannya di samping menghalang gereja daripada menggunakan kalimah Allah.

Isu nama Allah semakin panas apabila Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Putrajaya untuk menghalang majalah Kristian, Herald daripada menggunakan nama Allah.

Ia menjadi lebih keruh apabila Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu Persatuan Bible Malaysia dan merampas 300 Bible berbahasa Melayu dan Iban.

Tahun lalu, Sultan Selangor mengeluarkan perintah bahawa nama Allah eksklusif untuk umat Islam sahaja dan tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam. – tmi


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP