Sunday, 2 February 2014

Mais Dan Jais Ugut Tangkap Anwar

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berucap di Masjid Kariah Batu 10, Cheras yang turut dihadiri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jumaat lalu. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 2 Februari, 2014.

Program kempen Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kajang mendapat halangan sejak hari pertama lagi daripada pihak berkuasa agama negeri iaitu Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).


Halangan ini membayangkan kesukaran untuk Anwar bergerak ke kerusi menteri besar Selangor.

Ia dilakukan dengan cara menyekat Anwar menemui penduduk Kajang menggunakan masjid yang terletak di bawah pentadbiran Mais.

Mais didakwa mengugut akan menangkap Anwar jika dia memberikan tazkirah di sebuah masjid di Selangor pada hari pertama kempen.

Ia berlaku apabila pasukan kempen Anwar merancang untuk membolehkan Anwar menyampaikan tazkirah sebelum solat Jumaat di Masjid Batu 10, Cheras pada Jumaat lalu.

"Pada pagi Jumaat kami mendapat panggilan bahawa Mais dan Jais akan menangkap Anwar dan Dr Muhd Nur Manuty sekiranya membaca khutbah dengan alasan tidak ada tauliah," kata sumber daripada pasukan kempen Anwar melalui Facebooknya.

Anwar dan Ketua Penerangan PKR, Dr Muhd Nur Manuty dijadualkan bertemu penduduk Kajang di Masjid Batu 10 pada Jumaat lalu.

Berdasarkan perbincangan dengan pengurusan masjid, Anwar dijadualkan memberikan tazkirah di situ manakala Muhd Nur menyampaikan khutbah Jumaat.

Akibat halangan itu, Anwar tidak boleh memberikan tazkirah dan Muhd Nur juga tidak boleh membaca khutbah di masjid berkenaan.
Sebelum itu, pasukan kempen Anwar merancang untuk berbuat demikian di Masjid Impian Saujana, Kajang namun dihalang oleh Mais.

"Awalnya masjid bersetuju namun selepas subuh 30 Januari, pihak nazir memberitahu mereka menerima tekanan daripada Mais. Mereka tidak berani melaksanakan program kami. Kami lantas mencari masjid lain," kata sumber itu.

Kerusi DUN Kajang kosong susulan peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lee Chin Cheah daripada PKR. Sehubungan itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan PKR memilih Anwar sebagai calonnya di situ.

Pengumuman itu turut disertai oleh pemimpin PAS dan DAP yang menyokong keputusan itu.

Mengikut perancangannya, Anwar dijangka dilantik menjadi menteri besar Selangor bagi menggantikan Abdul Khalid.

Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah sebelum ini berkata Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mempunyai kuasa mutlak dalam menentukan pelantikan individu yang layak menjadi menteri besar negeri itu.

Beliau berkata, kuasa itu diperuntukkan dalam Artikel 51, Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959.

"Sultan Selangor mempunyai kuasa mutlak dalam dua perkara dan boleh membuat keputusan tanpa perlu nasihat iaitu yang pertama dalam hal pemilihan menteri besar dan kedua, pembubaran Dewan Undangan Negeri.

"Dalam membuat keputusan menyentuh kedua-dua perkara itu, sultan tidak perlu bertindak atas nasihat sesiapa," katanya. – tmi

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

1 comments:

Sabina45 2 February 2014 at 21:12  

Aku sokong jika DUN Selangor dibubarkan baru kita boleh nilai sejauh mana UMNO akan labur peruntukkan membeli kuasa pada juak-juak yang sentiasa lapar termasuklah yang sedang berusaha menghalang kebebasan yang sedang diperjuang oleh segolongan rakyat yang benar-benar mahukan keamana dibumi yang bertuah ini, selepas itu baru dapat lihat siapa yang ikhlas dalam meningkatkan ekonomi untuk rakyat dan bukannya untuk golongan penindas demi untuk sevival diri sendiri dan keturunan mereka.

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP