Monday 3 February 2014

Susulan Insiden Di Stadium Larkin..

PERSATUAN Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) melahirkan kekecewaan berhubung insiden membabitkan penyerang import T-Team, Evaldo Rodrigues ditumbuk pihak pengurusan pasukan Johor Darul Takzim (JDT), malam kelmarin.

Presidennya, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berkata, pihaknya sememangnya tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku dan menyifatkan kejadian itu sama seperti perlawanan bola sepak 'ala kampung’.


Menurutnya, selain penyerang kelahiran Brazil itu, beliau dimaklumkan jurulatih kecergasan pasukan, Stefano Impagliazzo turut dikasari pegawai keselamatan dalam kejadian terbabit.

“Bagi saya, pergaduhan dalam bola sepak sudah berlalu dan tidak seharusnya terjadi di zaman serba moden ini, ia amat memalukan dan mendukacitakan kami. Apa pun saya akan arahkan Ketua Pegawai Eksekutif T-Team, Ab Rasid Jusoh supaya membuat laporan polis berhubung insiden yang menimpa pemain dan pegawai T-Team ini.

“Saya juga meminta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyiasat dan membuat keputusan adil berhubung hal ini,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Nizam berkata, sepatutnya insiden itu tidak berlaku sekiranya ada semangat kesukanan yang tinggi bukan sahaja dalam kalangan pemain, tetapi juga pengurusan kerana menang atau kalah adalah adat dalam permainan.


Serah kepada FAM

Pengurusan T-Team enggan mengulas lanjut insiden yang menimpa penyerang import, Evaldo Rodrigues dan jurulatih kecergasannya, Stefano Impagliazzo, sebaliknya menunggu keputusan rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Ketua pegawai eksekutifnya, Ab Rasid Jusoh berkata, pihaknya sedang menunggu laporan penuh daripada FAM yang diserahkan komisioner perlawanan, Zainal Mukri.

“Saya tidak mahu mengulas lanjut insiden yang menimpa Rodrigues dan Impagliazzo. Kami serahkan kepada FAM,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih T-Team, Azraai Khor Abdullah juga mengambil pendekatan sama enggan mengulas lebih lanjut berhubung insiden berkenaan dan menyerahkan kepada pengurusan tertinggi The Titans untuk membuat keputusan.

“Saya tidak mahu memberi sebarang ulasan mengenai kejadian yang menimpa anak buah saya, sebaliknya menyerahkan kepada kepimpinan tertinggi T-Team yang akan menunggu laporan rasmi daripada FAM berhubung masalah itu.

“Namun, saya cukup terkilan dengan apa yang berlaku dan berharap FAM menilai dengan teliti demi kebaikan pasukan, selain tidak memberi imej buruk terhadap mutu dan maruah bola sepak negara,” katanya.

Pengendali berusia 62 tahun itu berkata, ketika insiden berkenaan, dia sudah berada di dalam bilik persalinan bagi merancang taktikal yang bakal digunakan pada babak kedua perlawanan.

Bagaimanapun, Azraai berkata, insiden yang menimpa Rodrigues dan Impagliazzo berlaku di hadapan penolong jurulatihnya, Azlan Johar.

“Saya memang tak nampak insiden itu berlaku, tetapi dimaklumkan Rodrigues berdarah hidung akibat ditumbuk pengurusan skuad Johor Darul Takzim (JDT) dan Impagliazzo turut dikasari pegawai keselamatan.

“Selepas berbincang dengan pengurusan T-Team, kami mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perlawanan pada babak kedua permainan kerana bimbang keselamatan pemain, pegawai serta penyokong kami,” katanya.


Kehadiran Evaldo, Stefano ke balai timbul tanda tanya

Bagaimanapun, pemain import, Evaldo Rodrigues dan Fabio Flor serta jurulatih kecergasan, Stefano Impagliazzo kelihatan memasuki Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu kira-kira jam 1.14 petang semalam.

Kehadiran mereka menimbulkan tanda tanya, namun pemain mahupun pegawai pengiring yang ditemui enggan menjelaskan kedatangan mereka ke balai berkenaan.

Mereka yang berada di balai berkenaan selama kira-kira 16 minit atas urusan tidak diketahui, mengambil keputusan membisu apabila diminta penjelasan mengenai tujuan ke balai polis.

Ketua pegawai Operasi T-Team, Syahrizan Mohd Zain yang mengiringi mereka turut mengambil langkah sama apabila enggan memberi sebarang kenyataan.

“No komen, no komen,” katanya ringkas.

Dalam laporan akhbar hari ini, perlawanan T-Team menentang JDT di Stadium Larkin, Johor, malam kelmarin tidak diteruskan pada separuh masa kedua apabila T-Team dikatakan menarik diri.

Tindakan itu dipercayai akibat pemain import kelahiran Brazil, Evaldo Rodrigues dan jurulatih kecergasan, Stefano Impagliazzo dikasari ketika menuju ke bilik persalinan selepas tamat separuh masa pertama.


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP