Monday 24 March 2014

AS selar Malaysia kerana kerjasama suram dalam mencari MH370

Penggubal undang-undang Amerika Syarikat (AS) mengkritik Malaysia tentang apa yang mereka gambarkan sebagai kerjasama suram dalam mencari pesawat MH370, lapor Wall Street Journal (WSJ) pagi ini.

Penerbangan Malaysia Airlines Boeing 777-200ER membawa 239 penumpang apabila hilang pada 8 Mac semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

z
Nasib pesawat tersebut masih belum diketahui selepas 16 hari operasi mencari dan menyelamat antarabangsa dari Lautan Hindi hingga Laut China Selatan.

"Saya fikir semua pihak mahu kerajaan Malaysia lebih terbuka dalam berkongsi maklumat yang mereka perolehi," kata Patrick Meehan daripada parti Republikan, ahli Jawatankuasa Keselamatan Dalam Negeri kepada CNN.

"Laporan yang saya terima adalah mengecewakan," Meehan dipetik berkata dalam laporan WSJ. "Kami hanya diberikan sedikit maklumat."

Michael McCaul ahli parti Republikan (Texas), pengerusi jawatankuasa sama menuduh Malaysia terkial-kial dalam pencarian awal.

McCaul memberitahu Fox News semalam beliau percaya pesawat MH370 berada di Lautan Hindi.

"Saya fikir kerajaan Malaysia membuang masa memberikan tumpuan di laluan utara di Teluk Thailand, Kazakhstan," katanya.

"Ia akan dikesan oleh radar dan kita tahu tentang itu. Saya tahu tentang imej satelit yang diberikan kepada Malaysia, dan kami membuang masa berharga selama seminggu di rantau itu apabila sebenarnya ia berada di selatan Lautan Hindi," beliau dipetik berkata dalam akhbar perniagaan itu.

Timbalan Penasihat Keselamatan Dalam Negeri Presiden Barack Obama, Tony Blinken bagaimanapun memuji Malaysia, China dan negara lain kerana bekerjasama dalam misi pencarian itu.

"Kita melihat negara-negara bekerjasama dalam cara yang mereka tidak pernah lakukan sebelum ini," kata Blinken kepada CNN.

Tetapi Blinken mengatakan selepas dua minggu, masih belum ada "teori kukuh" tentang apa yang terjadi kepada pesawat MH370.

Malaysia mendedahkan semalam Perancis mempunyai imej satelit yang menunjukkan objek terapung, berpotensi sebagai serpihan di kawasan pencarian utama pesawat MH370 di Lautan Hindi bagi Australia.

Pegawai kerajaan Australia berkata semalam, salah sebuah kapal terbang yang digunakan untuk mencari pesawat MH370 dapat mengesan palet kayu kargo bersama-sama tali pinggang atau tali di kawasan terpinggir Lautan Hindi.

Objek itu dilihat oleh salah satu pesawat awam yang membantu mencari Boeing 777-200ER pada Sabtu.

Agensi berita AFP melaporkan pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) mengesahkannya sebagai "visual pertama dilihat dalam carian setakat ini".

Dibantu oleh beberapa negara lain, AMSA sedang melakukan "pencarian berkaedah" di kawasan perairan seluas 59,000 kilometer persegi.

Mereka sedang mencari objek besar yang ditemui satelit pada 16 dan 18 Mac.

Kementerian Pengangkutan Malaysia mengatakan Australia, China dan Perancis sudah mengeluarkan imej satelit yang berkemungkinan besar objek boleh dikaitkan dengan MH370.

China sudah menghantar kapal mereka untuk mencari pesawat tersebut, menambah kepada kapal tentera laut Britain dan Australia yang sudah mula mencari.

Jika pesawat terhempas di lautan, penyiasat berharap untuk mengenalpasti kawasan terhempas tersebut sebelum kotak hitam pesawat berhenti memberikan isyarat – kebiasaannya selepas 30 hari.

Kotak hitam pesawat amat penting untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku kepada Boeing 777 dengan 239 penumpang dan anak kapalnya dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing itu. – tmi

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP