Saturday 29 March 2014

Cari pemilik Toyota Vios biadab buang Yasin

KEMAMAN – Seorang pemandu kereta yang dalam perjalanan menghala ke Kuala Terengganu bertindak biadab kerana dipercayai membuang beberapa naskhah surah Yasin, kelmarin.

Perbuatan pemandu yang menaiki kereta jenis Toyota Vios berwarna merah jambu itu dilihat seorang jurutera dari sebuah syarikat di Kerteh yang juga dalam perjalanan ke arah Kuala Terengganu bersama keluarganya.


Ketika dalam perjalanan, jurutera berusia 29 tahun itu terkejut apabila ternampak senaskhah surah Yassin di tepi jalan di Kilometer 114 Jalan Kuala Terengganu-Kerteh pada jam 6.15 petang sebelum bertindak memberhentikan kenderaan dan mengambil surah Yasin itu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, pengadu tersebut kemudian meneruskan perjalanan dan setibanya di stesen minyak Petronas Paka di Dungun, dia ternampak sebuah Toyota Vios membuang sesuatu di tepi jalan dalam jarak tiga kenderaan dari keretanya.

Menurutnya, pengadu memperlahankan keretanya dan mendapati barang yang dibuang itu adalah surah Yasin, namun pengadu tidak dapat memberhentikan keretanya berikutan jalan sesak.

“Ketika tiba di Kampung Nyior, Paka, sekali lagi pengadu lihat pemandu kereta Vios itu membuang sesuatu dari keretanya, jadi pengadu memberhentikan keretanya di tepi jalan dan mendapati barang itu adalah tiga surah Yasin.

“Pengadu kemudian membuat laporan di Balai Polis Dungun,” katanya.

Selain pengadu, polis juga menerima aduan pada jam 7.30 petang daripada orang awam di Kuala Dungun yang turut melihat kereta sama membuang surah Yasin di tepi jalan.

Beliau berkata, hasil semakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kereta tersebut didaftarkan atas nama seorang bekas tentera yang beralamat di Jasin, Melaka.

“Selepas dihubungi, penama berkenaan mengaku kereta itu miliknya, namun ditarik bank Kuala Lumpur dua tahun lalu dan rakannya telah membayar tunggakan bank.

“Jadi kereta itu dijual atau diserah kepada rakannya secara sambung bayar ansuran sehingga sekarang tanpa tukar hak milik,” katanya.

Sehubungan itu, Che Suza berkata, pihaknya kini sedang mengesan pemilik semasa kereta terbabit untuk membantu siasatan kes itu mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan.


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP