Sunday 16 March 2014

Fokus kini terarah kepada ‘mereka di dalam’ kokpit MH370

Pegawai perisik Amerika cenderung kepada teori “mereka di dalam kokpit” – juruterbang pesawat Malaysia Airlines MH370 bertanggungjawab terhadap kehilangan pesawat komersial itu, kata pegawai Amerika yang mempunyai pengetahuan langsung perkembangan krisis itu kepada CNN, semalam.

Pendedahan itu dilakukan selepas pihak berkuasa Malaysia menggeledah rumah ketua juruterbang, Kapten Zaharie Ahmad Shah pada hari yang sama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata pada sidang media semalam pesawat itu bertukar haluan dan ia adalah tindakan yang sengaja dilakukan seseorang di dalam Boeing 777-200ER itu.


Laporan CNN berkata, kerajaan Malaysia sudah lama mencari alasan untuk memeriksa rumah juruterbang dan pembantu juruterbang sejak beberapa hari lalu.

Bagaimanapun, katanya, hanya dalam tempoh 24 hingga 36 jam terakhir apabila data radar dan satelit menunjukkan sesuatu yang pihak berkuasa percaya menyebabkan mereka mempunyai alasan mencukupi untuk menggeledah rumah Zaharie, 53, dan pembantu juruterbang, Fariq Abdul Hamid, 27.

“Rakyat Malaysia tidak melakukan perkara itu sewenang-wenangnya,” kata seorang pegawai Amerika dengan syarat nama tidak disiarkan.

Pada peringkat ini, tidak jelas sama ada Putrajaya percaya seorang atau kedua-duanya mungkin bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku kepada pesawat itu ketika Boeing 777-200 ER (9M-MRO) hilang pada 8 Mac ketika dalam perjalanan ke Beijing dari Kuala Lumpur, kata laporan CNN itu.

Pegawai itu berkata, tiada kata putus dicapai dan semua perbincangan risikan dalaman berdasarkan kepada penilaian preliminari.

Sumber yang dekat dengan siasatan itu memberitahu CNN polis menggeledah rumah Zaharie di Shah Alam, luar Kuala Lumpur.

Dilaporkan, beberapa beg kecil seperti beg beli-belah dimasukkan ke dalam dua van di rumah Fariq.

Polis enggan mengulas mengenai perkara itu.

Najib dengan jelas berkata di sidang media semalam dengan adanya perkembangan terbaru, pihak berkuasa kini memfokuskan siasatan kepada anak kapal dan penumpang pesawat itu.

Tidak syak lagi, mereka akan meneliti senarai penumpang pesawat dan menyiasat lebih lanjut untuk melihat sama ada sesiapa dalam pesawat itu pernah menjalani latihan atau ada kaitan dengan kumpulan suspek.

0perasi mencari yang dijalankan oleh tentera laut dan pesawat daripada lebih daripada sedozen negara dihentikan serta-merta di Teluk Siam dan Laut China Selatan ke timur Malaysia, di mana pesawat berkenaan hilang daripada skrin menara kawalan awam pada 1.22 pagi Sabtu minggu lalu.

Najib berkata, komunikasi terakhir MH370 dengan satelit ialah pada 8.11 pagi yang meletakkannya di salah satu kawasan sama ada di koridor utara iaitu antara utara Thailand hingga sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan, atau koridor selatan membabitkan kawasan dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP