Thursday 27 March 2014

TERKINI - Papagomo Diperintah Bayar Saman Fitnah RM300,000



PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengurangkan jumlah ganti rugi daripada RM500,000 kepada RM300,000 untuk dibayar Wan Muhammad Azri Wan Deris kepada seorang ahli perniagaan berhubung artikel berunsur fitnah yang dimuatkan dalam blognya dikenali sebagai Papagomo.

Hakim Datuk Mohamad Ariff Md Yusof yang mempengerusikan panel tiga hakim membenarkan sebahagian daripada rayuan Wan Muhammad Azri mengenai jumlah ganti rugi tetapi menolak rayuannya tentang liabiliti.

Panel itu yang turut dianggotai Hakim Datuk Mah Weng Kwai dan Datuk Abang Iskandar Abang Hashim dengan sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati Wan Muhammad Azri disabitkan memfitnah Abdul Razak Mohd Noor.

Pada 13 September tahun lepas, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur mengenal pasti   Wan Muhammad Azri sebagai blogger Papagomo dan memerintahkan dia (Papagomo) membayar RM200,000 sebagai ganti rugi am dan RM300,000 sebagai ganti rugi teladan kepada Abdul Razak.

Mahkamah Rayuan di sini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi memerintahkan Papagomo membayar RM200,000 sebagai ganti rugi am kepada Abdul Razak tetapi mengurangkan jumlah ganti rugi teladan kepada RM100,000.

Hakim Ariff juga memerintahkan Wan Muhammad Azri, 31, membayar RM15,000 sebagai kos perundangan kepada Abdul Razak.

Abdul Razak, 60, menyaman Wan Muhammad Azri, menuntut RM10 juta sebagai ganti rugi berhubung artikel berunsur fitnah dimuatkan dalam blognya pada 11 Disember, yang secara tersirat membawa maksud beliau (Abdul Razak) seorang penipu yang memperoleh jutaan ringgit melalui kontrak pada Sukan Komanwel.

Wan Muhammad Azri diwakili oleh peguam Mohd Arief Emran Arifin dan Wan Muhammad Amin Wan Yahya sementara Abdul Razak diwakili peguam Reuben Netto. – Bernama


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP