Thursday 13 March 2014

Pengurus IT dari Chicago temui MH370 dengan ‘crowdsourcing’?

Anggota Penguatkuasa Maritim Malaysia menunjuk kepada skrin radar kawasan kemungkinan pesawat MH370 terhempas sebelum bertolak dari pangkalan untuk misi mencari dan menyelamat di Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan semalam. Kini rakyat biasa juga berusaha mencari pesawat tersebut dengan kaedah crowdsourcing yang meneliti imej dari satelit dalam sebuah laman web khas


Seorang pengurus IT dari Chicago, Amerika Syarikat, mungkin sudah dapat mengesan pesawat penerbangan Malaysia MH370 yang hilang – hanya dengan melayari Internet.

Laporan dalam akhbar Mirror berkata Mike Seberger mungkin menemui lokasi pesawat yang hilang itu selepas meneliti imej satelit beresolusi tinggi yang diambil dari atas laut di mana pesawat tersebut hilang pada pagi Sabtu.

Imej yang dijumpai Mike menunjukkan objek berupa kapal terbang di bawah gumpalan awan di Teluk Thailand.

Seberger, 47 tahun, terjumpa objek itu selepas memasuki laman Tomnod yang memuat naik imej satelit seluas 1,000 batu persegi sehari selepas pesawat itu hilang.

Lebih kurang setengah juta sukarelawan mendaftar untuk misi dalam talian itu pada hari pertama, dan sebanyak 100,000 orang menggunakan laman web itu dalam masa seminit. Laman web ini juga sering tergendala kerana trafik yang sesak.

Laman web ini berfungsi dengan memberi setiap pengguna sepetak kecil daripada kawasan pencarian itu.

Pengguna kemudiannya meneliti imej tersebut dengan terperinci – dalam kaedah ini yang dinamakan sebagai 'crowdsourcing'.

Gambar satelit tersebut diambil dari 400 batu dari atas bumi pada 9 Mac dan berupaya merakam butiran sekecil kawasan penalti di padang bola sepak, kata laporan Mirror.

Jika pengguna dapat melihat sesuatu yang penting, mereka akan menanda butiran itu untuk pengurus laman web tersebut.

The Mirror memetik Seberger berkata ia hanya mengambil masa beberapa minit untuk menjumpai imej itu, yang ukuran dan dimensinya konsisten dengan sebuah Boeing 777.

"Pada mulanya saya selang sahaja objek itu kerana saya terfikir tidak mungkin saya dapat menjumpainya begitu cepat.

"Tetapi saya asyik kembali melihat objek itu dan terfikir, 'Memang nampak seperti pesawat.'"

Pencarian pesawat MH370 kini semakin bertambah sejak ia hilang Sabtu lepas.

Sebanyak sembilan orang mengatakan mereka nampak pesawat itu sebelum ia hilang.

Satu daripada mereka berasal dari New Zealand di pelantar minyak sekitar Vung Tau di selatan Vietnam yang berkata dia terlihat sebuah 'objek terbakar' kira-kira 200 batu dari lautan.

Pekerja pelantar minyak, Michael McKay mendakwa melihatnya berlaku dan menghantar emel tentangnya kepada majikannya.

Wartawan ABC News Bob Woodruff mendapat salinan emel yang dihantar itu. McKay menulis dia percaya apa yang dilihatnya adalah pesawat MAS sedang terhempas.

"Masanya juga tepat. Saya cuba menghubungi Malaysia dan pegawai dari Vietnam beberapa hari lalu, tetapi saya tidak tahu jika mesej saya diterima,"katanya.

McKay juga menggambarkan apa yang dipercayainya sebuah kapal terbang yang terbakar di altitud yang tinggi kira-kira 50-70 kilometer dari lokasinya di pelantar minyak Songa Mercur sekitar Vung Tau.

Dia berkata apabila "melihat objek terbakar itu, ia nampak seperti kapal terbang itu masih sempurna (bentuk)."

"Daripada pertama saya nampak kapal terbang terbakar itu sehingga api terpadam (di mana altitud masih tinggi) saya kira lebih kurang 10 ke 15 saat." tulisnya.

"Tiada pergerakan lateral dapat dilihat, jadi ia sama ada menuju ke arah lokasi kita, tidak bergerak (dan jatuh) atau menuju bertentangan dengan arah lokasi kita."

Pekerja pelantar minyak itu juga memberikan koordinat GPS lokasinya dan lokasi anggaran di mana dia terlihat pesawat itu.

Globalnews melaporkan bahawa Woodruff mengatakan pegawa Vietnam mengesahkan mereka menerima emel McKay. 


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP