Wednesday 12 March 2014

Tragedi MH370 - Abang Mimpi Adik Pulang Dengan Wajah Berseri



Jitra - Abang kepada salah seorang penumpang pesawat MH370 yang dilaporkan hilang bermimpi bahawa adiknya, Jee Jing Hang, 41, pulang ke pangkuan keluarga dengan muka berseri-seri serta berada di dalam keadaan selamat.

Andrew Jee, 42, berkata, kerinduan keluarga terhadap Jing Hang menyebabkan ibubapa mereka, Tam Giat Gua, 68, dan Jee Teik Min, 75, setiap hari terpaku di hadapan kaca televisyen mengikuti perkembangan laporan insiden MH370 tersebut.

"Saya mimpi adik pulang dalam keadaan selamat dan wajahnya berseri-seri dan saya berdoa mimpi itu menjadi kenyataan,"

"Kami sekeluarga berharap ada berita gembira dilaporkan walaupun sudah tiga hari pesawat itu masih gagal dikesan meskipun usaha mencarinya giat dijalankan. 

"Sebagai abang sulung, naluri hati saya kuat mengatakan adik dan semua penumpang termasuk 12 anak kapal pesawat itu masih dalam keadaan selamat kerana belum ada penemuan atau petunjuk mengatakan pesawat itu terhempas," kata Andrew yang dipetik dari sumber, myMetro, semalam.

Mungkin bertujuan mahu memastikan seluruh keluarganya berada di dalam suasana emosi yang stabil, Andrew mengaku terpaksa mengambil cuti bagi menemani keluarga dan menanti detik-detik pesawat Boeing B777-200 itu ditemui.

Andrew menjelaskan bahawa Jing Hang merupakan seorang adik yang baik dan mereka yang hanya dua beradik di dalam keluarga itu sangat akrab meskipun adik bongsunya itu tinggal di Seremban, Negeri Sembilan.

"Macam-macam kemungkinan bermain di fikiran, tetapi saya tabahkan hati untuk menerima apa yang berlaku kerana Jing Hang satu-satunya adik saya dan dia seorang yang sangat baik.

"Sebelum ini, adik saya sering berurusan ke luar negara, tetapi ini kali pertama dia ke Beijing malah dia sangat gembira ketika memberitahu ibu saya hajatnya untuk ke sana sehari sebelum kejadian," ujarnya pada media baru-baru ini.

Pesawat MH370 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur menuju ke Beijing, China, dilaporkan hilang dari radar kira-kira 4 hari lepas dan membawa seramai 38 orang penumpang warganegara Malaysia, termasuk Jing Hang.

Sebanyak 9 kerajaan dari pelbagai negara seperti US, China, Singapura, Australia, New Zealand, Peranchis dan Vietnam secara sukarela menghantar pakar-pakar dari negara masing-masing untuk membantu mencari pesawat tersebut dengan diketuai oleh Kerajaan Malaysia.

Meskipun usaha pencarian pesawat tersebut disifatkan sebagai paling intensif dalam sejarah insiden pesawat hilang dan dibekalkan dengan pakar-pakar serta peralatan canggih serta termoden dunia, MH370 masih hilang, gagal dikesan. - UtaraNews.com

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP