Monday, 18 April 2016

Kepung Balai Polis: Penjelasan SPRM



GEORGE TOWN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang menafikan mengepung Balai Polis Air Itam, sebelum menahan lima anggota yang bertugas di balai itu dalam satu serbuan pada awal pagi kelmarin, sebagaimana dilaporkan media.

Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk M Samarajoo berkata, serbuan itu berlandaskan undang-undang sedia ada dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihaknya.

“Pegawai SPRM yang terlibat dalam operasi itu tidak mengepung balai polis berkenaan atau bertindak kasar terhadap anggota polis yang ditahan itu, sebaliknya mereka (SPRM) masuk melalui pintu utama balai.

“Pegawai SPRM turut memperkenalkan diri dan mengemukakan kad kuasa di polis balai itu, sebelum menahan lima anggota berkenaan,” katanya kepada Bernama.

Beberapa media menerusi laman web hari ini melaporkan, SPRM Pulau Pinang terpaksa mengepung balai polis itu, sebelum menahan lima anggota yang dipercayai terbabit kes rasuah.

Menurut laporan media itu, dalam serbuan jam 3 pagi Sabtu itu, kesemua mereka yang ditahan dipercayai terbabit dalam rasuah melibatkan jumlah wang yang besar.

Samarajoo berkata, tidak berlaku sebarang pergelutan semasa penahanan lima anggota, termasuk seorang wanita itu, sebaliknya mereka semua memberi kerjasama yang baik.

“Ada beberapa media (dalam talian) melaporkan SPRM mengepung balai itu terlebih dahulu semasa serbuan berkenaan, sehingga ia menjadi viral di laman sosial dan memberi persepsi buruk kepada kami serta polis.

“Sebenarnya, langsung tidak timbul perkara itu dan serbuan berkenaan juga adalah operasi biasa yang dilakukan SPRM, selepas mendapat aduan.

“Ia juga bukan satu operasi khas yang dirancang secara khusus,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes itu dan memberi ruang kepada pihaknya menjalankan siasatan kes di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Dalam serbuan itu, SPRM menahan lima anggota berusia 20 hingga 40 tahun, terdiri daripada seorang anggota berpangkat koperal, tiga lans koperal dan seorang anggota wanita berpangkat konstabel.

– BERNAMA


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

1 comments:

M.N.Hasnal Bakiyah 18 April 2016 at 11:01  

Semoga negara ini bersih dr perasuah



Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP