Monday 25 April 2016

Krisis MB Terengganu: Najib Akan Menghadap Sultan



PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan menghadap Sultan Mizan Zainal Abidin dalam tempoh terdekat bagi mendapatkan gambaran sebenar berhubung isu membabitkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Tanpa mendedahkan bila dan lokasi pertemuan itu bakal diadakan, Najib turut meminta rakyat tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu berkenaan, lapor Berita Harian Online.

“Saya akan menghadap Sultan Terengganu dalam tempoh terdekat untuk mengetahui apa sebenarnya berlaku di sana. Kita minta semua pihak bertenang dan tidak membuat sebarang andaian berhubung apa yang berlaku.

“Menteri Besar Terengganu masih melaksanakan tugas beliau seperti biasa, malah Kerajaan Terengganu tetap berfungsi seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem di Rumah Rehat Kerajaan, di Lundu, Sarawak, hari ini.

Najib berkata, beliau akan membuat kenyataan rasmi selepas pertemuan tertutup itu diadakan nanti.

Terengganu dilanda krisis lagi, apabila Ahmad Razif dilaporkan ditarik gelaran pingat Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZ) yang membawa gelaran Datuk Seri oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Sultan Mizan dikatakan murka dengan ucapan yang dibuat Razif pada Jumaat lalu. Ahmad Rafiz masih mengunci mulut apabila ditanya media mengenai dakwaan itu.

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan Istana Terengganu dan kerajaan negeri.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dilaporkan berada di Terengganu bagi menyelesaikan krisis itu yang kemungkinan besar melibatkan pelantikan Menteri Besar baharu.

- FMT

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP