Wednesday 25 May 2016

100 penjenayah Guna Kad Palsu Keluarkan RM52 Juta Serentak



PETALING JAYA: Sindiket jenayah Malaysia disyaki terbabit dalam kes pengeluaran wang menggunakan kad kredit palsu daripada kira-kira 1,400 mesin juruwang automatik (ATM) di Jepun baru-baru ini.

Menurut laporan media negara matahari terbit itu, Yomiuri Shimbun yang dipetik China Press, sekitar 100 penjenayah menggunakan kira-kira 1,600 kad kredit palsu untuk mengeluarkan wang tunai sebanyak 140 juta yen atau kira-kira RM52.62 juta daripada mesin ATM di 1,400 kedai serbaneka 7-Eleven di 17 daerah termasuk Tokyo, Osaka, Fukuoka, Aici dan Kanagawa.

Polis Jepun melalui rekod transaksi juga mendapati semua pengeluaran wang itu dilakukan dalam tempoh tiga jam, bermula 5 pagi 15 Mei lalu menggunakan kad kredit palsu Standard Bank of South Africa dan mereka sedang bekerjasama dengan Interpol dan kerajaan Afrika Selatan.

Disebabkan semua mesin ATM itu adalah milik Bank Seven di Jepun, pihak bank terbabit segera membuat laporan polis selepas mendapati berlaku urus niaga luar biasa.

Standard Bank of South Africa menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Isnin lalu memaklumkan, institusi perbankan itu kerugian USD19 juta atau kira-kira RM78.35 juta, namun tiada pelanggan yang terjejas.

Berdasarkan maklumat awal yang diperolehi, sindiket jenayah itu akan mendapatkan maklumat kad kredit pelanggan Standard Bank of South Africa, sebelum memasukkan maklumat itu ke dalam kad kredit palsu dan diagihkan kepada penjenayah untuk mengeluarkan wang di mesin ATM di pelbagai kedai serbaneka secara serentak.

Mesin ATM di kedai serbaneka menjadi sasaran kerana kebanyakan bank di Jepun tidak membenarkan penggunaan kad kredit atau kad debit negara asing untuk membuat pengeluaran wang.

Malah, siasatan ke atas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) juga mendapati sebahagian besar penjenayah memakai cermin mata gelap atau topeng hidung dan mulut bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

Namun, polis sedang mengesan suspek lelaki dan wanita yang membuat pengeluaran wang di Fukuoka, selepas wajah mereka berjaya dirakamkan CCTV.

Tambahan, penjenayah memilih hujung minggu untuk bertindak, memandangkan bank tidak beroperasi ketika itu dan sebaik sahaja dikesan pihak berkuasa, penjenayah telah meninggalkan Jepun.

Polis turut mengesyaki kes itu ada kaitan dengan orang Cina kerana enam daripada kad kredit palsu yang ditelan mesin ATM itu didapati adalah kad ahli sebuah restoran barbeku di China yang diubah suai menjadi kad kredit palsu.

Difahamkan, siasatan polis Jepun kini tertumpu kepada sindiket jenayah rentas sempadan dan menurut laporan The Japan Times, polis mengesyaki kes itu ada kaitan dengan sebuah sindiket jenayah Malaysia dan nama sindiket itu telah dimasukkan ke dalam senarai siasatan.

Bagaimanapun, tiada maklumat lanjut berhubung sindiket itu didedahkan.

Polis Malaysia memberitahu China Press, Bukit Aman sehingga kini belum menerima sebarang permintaan atau makluman daripada pihak berkuasa Jepun berhubung kes itu.

Kes sama pernah berlaku di Malaysia pada September 2015, apabila sekumpulan ahli sindiket dari Timur Tengah menggunakan sekeping kad kredit visa untuk mengeluarkan wang di Bank Al-Rajhi cawangan Subang Jaya, Ampang, Puchong, Bukit Bintang dan Putrajaya.

Akibatnya, wang tunai sebanyak RM1.6 juta lesap daripada bank itu dalam tempoh seminggu.

Pada akhir September 2014 pula, sebanyak RM3 juta lesap daripada mesin ATM di 17 bank seluruh Malaysia dalam masa dua hari selepas penggodam memasukkan virus ke dalam sistem komputer bank.

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP