Friday 13 May 2016

Anak-Anak Ahli Politik Malaysia Dalam Panama Papers



Anak perdana menteri Nazifuddin Najib mencuri perhatian selepas didedahkan mempunyai akaun luar pesisir di British Virgin Islands.

Bagaimanapun, beliau bukan satu-satunya anak ahli politik Malaysia dalam senarai itu.

Semakan Malaysiakiniterhadap rekod-rekod bocor daripada firma Panama, Mossack Fonseca, menunjukkan anak Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, anak Tun Dr Mahathir Mohamad dan anak Tan Sri Muhyiddin Yassin turut berada dalam senarai.

Mossack Fonseca adalah syarikat undang-undang yang menawarkan perkhidmatan membentuk entiti di tempat undang-undang percukaian tidak ketat dan akaun-akuannya tidak dapat dijejak.

Dokumen-dokumen itu kini dirujuk sebagai ‘Panama Papers’.

Walaupun akaun-akaun pesisir luar bandar membangkitkan persoalan berkaitan pelarian cukai, ia tidak semestinya menunjukkan terdapat aktiviti haram menggunakan wang itu atau menjadi satu kesalahan membentuk syarikat luar pesisir sendiri.

Fakhri Yassin Mahiaddin

Anak sulung Muhyiddin, Fakhri Yassin, dikaitkan dengan dua entiti. Kedua-duanya di British Virgin Islands, menurut semakan Malaysiakini.

Ketua pembangunan harta tanah Thriven itu membentuk Akila Way Limited BVI pada 11 Mac 2004 ketika berumur 28 tahun.

Ia dibuat selepas lima tahun berkhidmat sebagai penganalisis pelaburan di Hwang DBS – kerja pertamanya selepas tamat ijazah ekonomi perniagaan daripada Universiti London.

Akila Way dibentuk melalui WBC Limited, syarikat berpangkalan di Wan Chai, Hong Kong.

Sepuluh tahun kemudian, Fakhri menubuhkan Farsight Plan Investments Ltd pada 4 Jun 2011.

Tidak banyak maklumat bagaimana beliau menggunakan dua syarikat itu, atau sama ada ia mempunyai kaitan dengan pemberian saham majoriti Mulpha Land dengan harga RM2 juta secara tunai pada Mac 2015.

Mulpha Land dinamakan semula sebagai Thriven dan bapa 40 tahun kepada dua anak itu kemudian menjadi pengerusi eksekutif di syarikat tersenarai awam itu.

Fakhri memiliki 33.86 pegangan dalam Thriven dan menjadi pengarah di dua hospital Health Management International di Singapura (Mahkota Medical Centre dan Regency Specialist).

Beliau juga menjadi pengarah Eden Inc Bhd, syarikat katering tersenarai awam yang diasaskan oleh bapa mertuanya.

Malaysiakini telah menghubungi Fakhri melalui Thriven dan setiausaha akhbar bapanya tetapi belum mendapat jawapan.

Mirzan Mahathir

Ini bukan kali pertama anak sulung bekas perdana menteri dilaporkan memiliki syarikat luar pesisir pantai.

Pada 2013, Malaysiakini melaporkan Mirzan memiliki syarikat Crescent Energy Ltd, Utara Capital Ltd dan Al Saad Investments Pte Ltd. Semuanya berpangkalan di Labuan.

Dalam Panama Papers, Mirzan - pernah seketika menjadi pengarah syarikat Filipina, San Miguel Corp, sehingga April 2010 - disenarai memiliki sebuah firma di Kepulauan British Virgin pada 8 Mac 2002.

Bagaimanapun firma itu - Sergio International Ltd - dianggap tidak aktif pada 1 November 2006 dan dibubarkan pada tahun sama.

Mirzan, memiliki ijazah sarjana pengurusan perniagaan dari Universiti Wharton, kini ketua pegawai eksekutif Crescent Capital iaitu sebuah syarikat pegangan pelaburan dan perunding pelaburan.

Malaysiakini menghubungi Mirzan melalui Crescent Capital dan seorang wanita yang mendakwa sebagai seorang pengarah syarikat itu memberitahu, anak Dr Mahathir itu memang tidak terlibat dalam Crescent Capital.

"Kami boleh mengesahkan sepenuhnya Mirzan tidak terlibat atau ada kaitan sama sekali dengan Sergio International Ltd dan entiti luar pesisir itu juga tidak mempunyai sebarang hubungan dengan Crescent Group of Companies.

"Saya berminat untuk mengetahui bagaimana Mirzan disenarai sebagai pengarah atau pemegang saham Sergio ketika dia tidak memberikan sebarang kebenaran untuk itu," katanya.

Pengarah itu yang enggan dinamakan menambah, Crescent tidak tahu pun kewujudan syarikat Sergio International Ltd sehingga dia dihubungi Malaysiakini.

Namun wanita itu memberitahu Mirzan ada memaklumkannya dua pemegang saham Sergio International Ltd pernah menghubunginya antara tahun 2000 hingga 2002 untuk memulakan perniagaan landskap.

"Tetapi kami tidak mempunyai sebarang rekod mengenai perniagaan itu - sama ada menjadi kenyataan atau tidak, kami tidak tahu. Semuanya sangat pelik," katanya.

Ahmad Zachry Anifah

Tokoh termuda di kalangan anak empat ahli politik yang disebut dalam Panama Papers ialah Ahmad Zachry Anifah.

Dia adalah anak kepada Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Ahmad Zachry, 32, menubuhkan Green Energy Management Solutions Ltd di Kepulauan British Virgin pada 13 Mei 2010 bersama seseorang dikenali sebagai Pang Su Yen dari Kuala Lumpur.

Alamat Ahmad Zachry dalam dokumen pendaftaran firma itu ialah sebuah peti surat di Beaufort, Sabah. Firma berkenaan ditutup ekoran tiada sebarang aktiviti pada 2013.

Tidak banyak maklumat mengenai Ahmad Zachry ditemui dalam carian umum kecuali dikatakan memiliki syarikat Powersport Events Sdn Bhd.

Ketika berusia 24 tahun Ahmad Zachry dan syarikat Powersport Events menganjurkan perlumbaan bot laju F2000 World Race di Kota Kinabalu, Sabah.

Dua tahun kemudian Ahmad Zachry - anak sulung daripada tiga beradik - dinamakan memiliki 0.9 peratus saham syarikat pengeluar plastik SLP Resources.

Adik kandungnya Ahmad Firdauss juga memiliki jumlah pegangan sama. Ia adalah tahun yang sama syarikat luar pesisir itu ditubuhkan.

Malaysiakini cuba menghubungi Ahmad Zachry melalui Anifah dan setiausaha akhbar menteri itu tetapi setakat ini belum mendapat sebarang reaksi.

- mkini

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP