Sunday 8 May 2016

Najib Ingatkan Calon Menang 'Tidak Lupa Janji'



KUCHING: Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan calon-calon Barisan Nasional (BN) yang dipilih rakyat pada Pilihan Raya ke-11 (PRN-11) Sarawak supaya jangan lupa kepada janji yang diberi, dan menasihatkan mereka supaya sentiasa berkhidmat untuk rakyat.

Perdana menteri yang mengucapkan tahniah atas kejayaan cemerlang Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem mengetuai jentera pilihan raya BN dalam PRN-11 turut mengucapkan terima kasih kepada pengundi Sarawak yang terus memberikan kepercayaan dan mandat kepada BN untuk membentuk kerajaan negeri.

Bagaimanapun menurutnya kejayaan cemerlang BN ini turut diiringi dengan perasaan amat sedih sekali berikutan kematian mereka yang terbabit dalam kemalangan helikopter dua hari lepas.

Beliau berkata Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon, bersama suaminya Tuan Asmuni Abdullah, serta pengawal peribadinya Ahmad Sobri, Anggota Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Sundaran Annamalai, dan juruterbang helikopter malang AS350 Kapten Rudolf Rex Ragas, merupakan sebahagian daripada mereka yang gigih melaksanakan tugasan dan tanggungjawab masing-masing.

"Komitmen, kerja keras dan pengorbanan mereka akan terus dikenang," menurut beliau dalam catatan Facebooknya.

Keputusan PRN-11 hari ini menyaksikan BN memperoleh kejayaan cemerlang apabila ia berjaya memenangi 72 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 82 kerusi DUN, berbanding PRN pada 2011 yang menyaksikan ia menang 55 kerusi daripada 71 yang dipertandingkan.

Dalam kejadian dua hari lepas, helikopter yang membawa rombongan Noriah itu dilaporkan hilang semasa dalam perjalanan dari Betong, kira-kira 250km dari sini ke Kuching, dan sehingga kini lima daripada daripada enam mangsa kejadian sudah ditemui berhampiran serpihan helikopter, di sekitar sungai Batang Lupar.

Perdana menteri turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat dan penduduk Bumi Kenyalang yang keluar menunaikan tanggungjawab mengundi untuk kesejahteraan negeri dan negara.

"Sebagai Apai Besar Malaysia, saya berjanji, bersama-sama Apai Besar Sarawak Tan Sri Adenan Satem dan juga wakil-wakil rakyat Barisan Nasional yang lain, kami tidak akan mensia-siakan kepercayaan dan mandat yang telah anda semua  berikan," katanya.

"Bersama, kami akan pastikan Sarawak terus makmur, membangun dan maju seiring dengan kemajuan negara," tambahnya.


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP