Tuesday 31 May 2016

PAS Akan 'Rampas' Kembali Semua Kerusi Yang 'Dipinjamkan' Kepada Pakatan Rakyat



PAS mahukan kembali kerusi-kerusi yang 'dipinjamkan' kepada sekutu pembangkang seperti PKR dan DAP semasa pilihan raya umum yang lepas.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata pengalaman lalu ketika PAS masih bekerjasama dalam pakatan pembangkang harus dijadikan pengajaran agar anggota PAS tidak lagi dijadikan 'kuda tunggangan' parti-parti lain.

"Cukuplah pengalaman lalu menjadi pengajaran, di mana tenaga anggota kita yang ikhlas dan patuh pada arahan pimpinan 'dipergunakan' oleh rakan-rakan demi mencapai kemenangan, kemudian 'ditinggalkan' begitu sahaja.

"Justeru sekiranya pimpinan parti mengambil satu langkah berani untuk bertanding di kerusi yang selama ini 'dipinjamkan' kepada PKR dan DAP dalam PRU yang lepas, kami Pemuda PAS memberikan ikrar dan janji, akan mengambil seribu satu langkah bagi memastikan kemenangan berpihak kepada PAS," katanya.

Nik Mohamad Abduh yang juga Anggota Parlimen Pasir Mas berkata demikian ketika berucap pada Muktamar Dewan Pemuda PAS ke-57 yang dirasmikan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man di sini hari ini.

Beliau berkata Pemuda PAS berharap agar pimpinan tertinggi parti mengkaji semula agihan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal ditandingi PAS dalam PRU14 akan datang.

Nik Mohamad Abduh juga menggesa seluruh Pemuda PAS mempertahankan gagasan kepimpinan ulama yang telah dirintis oleh pimpinan terdahulu.

"Gagasan ini bukanlah gagasan yang bermusim, ia merupakan tunjang yang menjaga dasar perjuangan PAS selama ini dan menentukan hala tuju serta prospek masa depan PAS.

"Kepimpinan PAS adalah DNA yang menjadikan PAS sebuah gerakan Islam yang unik dan istimewa dibandingkan gerakan Islam yang lain pada mata para pengkaji hari ini," katanya lapor AstroAwani









PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP