Wednesday 11 May 2016

Teknologi Kurangkan Gangguan Seks Di Kampus



Penggunaan pelbagai kaedah pengajaran pada masa kini mampu mengurangkan risiko mahasiswa menerima gangguan seks, khususnya oleh pensyarah.

Timbalan naib canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata pelajar kini kurang kerap berjumpa pensyarah bersendirian akibat kemudahan teknologi.

Oleh itu, kata Profesor Datuk Noor Aziah Mohd Awal, risiko gangguan seks boleh dikatakan sifar.

“Susah nak berlaku, sebab bila pensyarah ada masa dengan pelajar bersendirian? Ini kerana semasa kuliah dan tutorial pelajar berada dalam kumpulan yang ramai.

“Pelajar nak jumpa pensyarah sekarang tidak perlu, sebab ada emel. Sebab itu saya kata peluang untuk gangguan seks sangat sedikit,” katanya kepada ProjekMMO.

Tambahnya, bagi mengelakkan timbulnya kecurigaan dalam hubungan dengan pelajar, kampus UKM kini dalam proses menggunakan pintu berkaca di kawasan tertentu.

“Bagi saya, bilik pensyarah mesti ada tingkap kaca. Saya sendiri kalau berjumpa pelajar lelaki di pejabat, saya buka pintu.

“Di fakulti, pintu saya sentiasa terbuka untuk pelajar masuk bertanya,” katanya, mengulas isu gangguan seks di kampus.

“Saya juga selalu nasihat pelajar membawa kawan jika ingin bertemu pensyarah.”

Aziah turut berkata pensyarah bukan satu-satunya golongan yang perlu dipersalahkan apabila membincangkan gangguan seks di universiti.

“Di universiti, gangguan seks boleh berlaku kerana ada hubungan di antara pensyarah dengan pelajar, pelajar dengan kakitangan sokongan, pensyarah dengan pensyarah, pensyarah dengan kakitangan sokongan mahu pun pelajar dengan pelajar.

“Banyak kategori, kenapa mesti fokuskan kepada pensyarah? Saya tidak kata sering, tetapi boleh berlaku.

“Di tempat kerja pun, kalau majikan lelaki bersama pekerja perempuan, itu juga lebih mudah,” katanya.

Aziah diminta mengulas laporan akhbar Mac lalu yang memetik kenyataannya sebagai berkata pelajar mudah menjadi mangsa gangguan seks apabila banyak urusan akademik terletak di tangan pensyarah.

Menafikan laporan akhbar berkenaan, Aziah berkata beliau mengulas isu gangguan seks dan bukan ganjaran seks.

Kes gangguan seks bukanlah perkara yang lazim berlaku di UKM, tambahnya, dan universiti menubuhkan satu jawatankuasa siasatan jika wujud aduan.

“Saya tidak kata banyak kes. Kalau banyak kes, banyaklah kita buang pensyarah. UKM sudah 46 tahun, mungkin ada dua atau tiga kes tetapi tidak sampai pembuangan [kerja]. Ia melalui siasatan.

“Kalau pensyarah dengan pelajar, saya pengerusi jawatankuasa siasatan. Jika kakitangan dengan kakitangan maka pendaftar yang jadi pengerusinya.

“Kalau ada laporan, kita tidak diamkan. Kita ambil tindakan. Jika dikatakan sering berlaku, tidak betul.

“Tetapi apabila tiada laporan, tak bermakna pula perkara itu tidak berlaku,” katanya.

- malaymail

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP