Sunday 22 May 2016

Tiga Pengiring VIP Ditahan Polis



KUALA LUMPUR: Gara-gara berlagak sebagai pengiring orang kenamaan (VIP), tiga individu ditahan kerana menghalang kenderaan sehingga menyebabkan keadaan trafik sesak di Lebuhraya Connaught di sini, hari ini.

Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur, ACP Nazri Hussain berkata ketiga-tiga pemandu yang berusia antara 27 dan 35 tahun itu ditahan oleh pasukan polis yang membuat rondaan di Plaza Tol Lama menghala ke Petaling Jaya pada pukul 1.15 tengah hari tadi.

Beliau berkata salah seorang pemandu terbabit yang berusia 31 tahun memandu kereta jenis Bentley ditahan kerana gagal mengemukakan lesen senjata api selepas polis menemui sepucuk pistol jenis Beretta beserta 10 butir peluru yang diselitkan pada bahagian pinggangnya.

“Mereka bertindak menghalang pemandu kenderaan lain supaya memberikan laluan kepada dua buah kereta majikan mereka bersama sebuah kereta jenis Proton Inspira yang mengiringi kereta terbabit dengan dilengkapi lampu arah berwarna biru dan memasang bunyi siren,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Nazri berkata hasil pemeriksaan mendapati kereta jenis BMW, Proton Inspira, dan Bentley, yang membawa empat penumpang terdiri daripada ahli perniagaan bergelar Datuk Seri itu, bukan didaftarkan sebagai kenderaan milik kerajaan.

Menurutnya, ketiga-tiga kenderaan itu dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut manakala kesemua penumpang terbabit dibebaskan.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam.

– BERNAMA

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP