Tuesday, 3 May 2016

VIDEO: Doktor Yang Bantu CIA Bunuh Osama Kini Mereput Dalam Penjara

Seorang tentera pasukan elit, dikenali Mark Owen (kanan), yang menyerbu rumah Osama Laden pada Mei 2011 menunjuk model lokasi serbuan kepada hos ‘60 Minutes’ CBS, Scott Pelley. — Paparan skrin YouTube/CBS 


Lima tahun selepas program penvaksinan palsunya membantu Amerika Syarikat menjejak dan membunuh Osama bin Laden, doktor Shakil Afridi terbiar di penjara.

Doktor Pakistan itu, dipercayai dalam lingkungan 50-an, tidak mendapatkan khidmat peguam dan rayuannya untuk meringankan hukuman penjara 23 tahun tergendala.

“Saya sudah hilang harapan untuk berjumpa dengannya, tiada lagi harapan menggapai keadilan,” kata abangnya Jamil kepada agensi berita AFP.

Bekas pakar bedah berpengalaman itu terpenjara seorang diri di dalam bilik kecil, menurut peguamnya, dibenarkan berjumpa keluarga tidak lebih enam kali setahun.

Peranan Afridi dalam pembunuhan paling tersohor dalam dekad-dekad mutakhir ini, sebagai alat kepentingan Agensi Perisikan Pusat (CIA) memburu Osama, memang kabur dan kelam.

Laporan dari Pakistan membayangkan pegawai NGO sejagat Selamatkan Kanak-Kanak bertindak sebagai orang tengah walaupun badan kebajikan itu menafikan mereka terlibat.

Cuma diketahui, Afridi ditugas menjalankan program penvaksinan palsu bagi penyakit Hepatitis C dengan niat mendapat sampel genetik dari Abbottabad, bandar pertahanan yang menempatkan Akademi Tentera Pakistan.


Di situ tokoh utama al-Qaeda, Osama, dan keluarganya menetap sejak pertengahan tahun 2000-an, dalam pengawasan — atau perlindungan — pegawai kanan tentera Pakistan.

Pada awal pagi 2 Mei 2011, dua helikopter dengan askar elit Navy Seals menyerbu kediaman Osama, kira-kira satu kilometer dari akademi tentera tersebut.

Serbuan mengejut pasukan elit Amerika Syarikat itu menggemparkan Osama dan keluarganya dalam operasi yang disiarkan langsung ke depan Presiden Barack Obama.

Mereka berjaya menembak kepala Osama dan melarikan mayatnya, kemudian dibuang di tengah laut tanpa diketahui sesiapa. Sebuah helikopter Black Hawk yang terhempas dibiarkan sahaja.

Pembunuhan Osama kejayaan besar buat Washington sejak serangan Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada 11 September 2001. Tetapi ia mengundang krisis dengan Islamabad.

Amerika Syarikat mencurigai, Pakistan disyaki sengaja melindungi ketua pengganas yang paling dikehendaki di dunia. Pakistan pula geram pada Afridi yang membantu CIA mengesan Osama.

Beberapa minggu selepas serbuan di Abbottabad, doktor itu ditahan dan dicampak ke penjara atas tuduhan ada kaitan dengan pengganas. Afridi menafikan tuduhan kerajaan negaranya.


Pengamat melihat Pakistan terpaksa mengambil tindakan itu sebagai membalas tindakan Amerika Syarikat.

Ia tidak boleh mendakwa Afridi sebagai pengkhianat, membantu negara asing, kerana pertuduhan seumpama itu menunjukkan negara itu memang melindungi Osama.

Afridi pada asalnya dihukum penjara selama 33 tahun tetapi Amerika Syarikat campur tangan, termasuk mengugut ingin memotong bantuan ketenteraan US$33 juta (RM130 juta) bagi setiap tahun hukuman.

Pakistan berlembut dan mengurangkan hukumannya selama 10 tahun, menjadikan hanya 23 tahun. Tetapi pengurangan ini tidak membawa kelegaan kepada doktor tersebut.

Sebaliknya apabila ketegangan antara Amerika Syarikat dan negaranya mula mengendur, antaranya kerana rundingan dengan pengganas di Afghanistan, nasibnya diabaikan.

Amerika Syarikat ingin mendapat bantuan Pakistan dalam rundingan dengan Taliban. Oleh itu, ia tidak mahu menimbulkan isu-isu yang boleh mencetuskan ketegangan semula.

Afridi akhirnya meringkuk sendirian di penjara kecil. Isteri dan anak-anaknya diizin melawat setiap dua bulan sekali.

Peguamnya sudah dua tahun dilarang bertemu doktor itu, lelaki yang dulunya pemegang kunci kejayaan operasi sulit CIA menjejak Osama bin Laden. Tetapi kini mereput di penjara.

- malaymail

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP