Saturday 4 June 2016

Adindaku Nik Abduh, 'Mabuk ada bermacam mabuk...'



Ke hadapan adinda Nik Abduh Nik Abdul Aziz,

Kekandamu Mujahid Yusof Rawa menulis kerana khabarnya adinda merindui kekanda-kekanda dalam ucapan adinda di Muktamar tempoh hari. Kekanda turut merindui adinda-adinda dalam Dewan Pemuda kerana kekanda pernah berada di situ selama beberapa penggal sebelum tamatnya tempoh pemuda. Kemudian kekanda berada di Kepimpinan PAS Pusat menyumbang ide dan berbakti kepada nusa dan bangsa melalui wadah PAS. Itulah wadah kita dan ayahanda kita. Kekanda selalu diingatkan bahawa masa depan parti berada di tangan pemuda-pemuda seperti kami dan sekarang adinda-adindalah mencorakkan masa depan parti PAS. Kekanda-kekanda yang adinda rindui kini dalam wadah AMANAH dan bukannya PAN seperti yang disebut oleh pendokong parti adinda. Entahlah samada liat lidah mahu menyebut AMANAH atau sengaja memanggil orang dengan nama yang tidak betul untuk tujuan memerli.

Adinda Nik Abduh,

Kekanda sedia maklum adinda suka berpuitis dengan berbahasa kiasan. Kiasan itu amat indah malah ia menjadi sihir yang memukau kerana susunan kata yang dikarang. Memang begitu peradaban kata-kata dan yang menuturnya pasti seorang Adib (sasterawan) yang tinggi budi pekerti dan kata-katanya. Adinda akan bersetuju dengan kekanda bahawa ramai kita yang jahil tentang seninya kata-kata umpama sihir yang memukau penonton, mereka yang jahil seni sering salah anggap bahasa kiasan yang kita gunakan dan menganggapnya satu hakikat.

Usaha terkini adinda membuat kiasan ‘mabuk’ kepada bekas pimpinan PAS yang kemudian menubuhkan AMANAH dan dikaitkan pula dengan parti DAP yang bertanggungjawab 'memabukkan' mereka menjadi perbualan ramai. Kekanda sudah biasa dengan bahasa kiasan dan kekanda juga boleh dengan bahasa kiasan menjawab ‘mabuk’ dan dimabukkan oleh DAP yang adinda cuba tamsilkan terhadap AMANAH.

Tahukah adinda bahawa mabuk itu ada macam-macam. Mabuk dunia, mabuk harta, mabuk pangkat, mabuk cinta, mabuk wanita dan pelbagai mabuk yang membayangkan seseorang itu telah lupa pertimbangan yang waras hanya untuk mencapai habuan yang diinginkan. Ada juga mabuk cinta yang menjadikan seseorang itu gila umpama kisah Laila Majnun. Maqam mabuk bisa sahaja sampai ke maqam Majnun (gila). Orang yang ‘gila’ akan melihat orang yang waras sebagai ‘gila’ dan tak akan mengaku dia gila kerana dia berada dalam alamnya tersendiri serta terperangkap di dalamnya.

Mabuk cinta juga dikaitkan dengan perbuatan yang pelik-pelik dan kadang-kadang dipanggil angau. Ini adalah kerana mabuk cinta menagih korban demi membuktikan kesetiaan cinta. Adakalanya pakaian biasa yang dipakai tidak lagi dipakai ikut selera tuan tubuh tetapi cara pakaian orang mabuk cinta ialah dengan memakai pakaian yang disuka kekasihnya. Bagi yang mabuk dia berasa hebat kerana memenuhi selera kekasihnya namun bagi orang lain yang melihat, ia sungguh pelik dan kadangkali mendengkilkan. Seorang yang mabuk cinta juga mahu orang lain memenuhi selera kekasihnya, lebih ramai yang pakai ikut selera mabuknya, lebih berbanggalah dia apatah lagi kalau ayahnya pun terikut-ikut dengan selera mabuknya demi untuk si kekasih hati.

Adinda ku Nik Abduh,

Mabuk laut juga dipakai sebagai kiasan kepada keadaan terhoyong-hayang bahtera yang dipukul gelombang dan gelora lautan sehingga si mangsa pening termuntah-muntah umpama orang yang mabuk meminum arak. Bercakap tentang bahtera, tahukah adinda salah seorang ulama besar nombor dua di dunia, pernah membuat kiasan “jikalau rasa ada bahtera lain lebih baik silalah ke bahtera lain”. Kiasan itu amat menusuk kalbu kekanda kerana bukan soal berpindah ke bahtera lain tetapi bahtera yang kekanda pernah ‘tumpang’ satu ketika dahulu sudah mulai bocor teruk bukan kerana orang di bawah menebuk untuk minum air tetapi orang yang di atas menebuk lubang kerana marahkan orang yang memberi amaran bahtera akan tenggelam. Lagipun pengemudinya dan anak kapal lain berebut habuan harta rampasan sehingga yang menumpang diabaikan, setiap kali mereka bersuara mereka diminta diam dan ikut sahaja arahan dan ada yang diberi amaran nyah dari bahtera ini jika banyak mulut.

Nasib baik kekanda sempat berada dalam bahtera baru setelah memilih untuk menyelamatkan diri daripada bahtera yang sedang tenggelam semakin dalam dan jurumudinya masih mabuk dunia dan anak kapalnya masih pening-pening lalat sehingga tidak terasa bahtera sedang tenggelam.

Bukankah elok kalau kita tenggelam sekali dengan bahteranya tanda kesetiaan? Kekanda akan bertanya balik, bukankah lebih elok kita sampai ke Pulau Impian kita dengan bahtera lain? Adakah bahtera itu matlamat atau Pulau Impian kita itu matlamat akhir kita? Memilih wasilah sebagai matlamat adalah sama seperti kekeliruan kenyataan adakah kita makan untuk hidup atau kita hidup untuk makan? Biarlah si luncai tenggelam dengan labunya..

Adinda ku,

Mabuk ialah apabila segala pertimbangan sudah hilang dan akal sudah tidak waras, mabuk boleh membuatkan kita sudah tidak waras dan tindakan kita akan jadi kontras dengan diri kita sebenarnya. Kalau sebelum mabuk kita pemalu tetapi semasa mabuk hilang semua rasa malu. Kalau sebelum mabuk kita dapat kawal kata-kata kita tetapi bila dah mabuk segalanya dihamburkan. Mabuk dalam bahasa Arab “sukran” adalah daripada makna “tertutup” dan “hilang akal kewarasan”. Ia boleh membawa makna tertutup daripada melihat yang lain. Sakaratul Maut bukanlah bermakna mabuk mati tetapi ia membawa makna ia tidak melihat lain melainkan kematian kerana segalanya telah tertutup penglihatan alam fananya, yang dilihat ialah menuju ke alam baqa.

Kalaupun adinda masih mahu berkias perkataan mabuk kepada AMANAH angkara DAP, kekanda boleh terima dengan makna ‘mabuk prinsip’, ‘mabuk melawan rasuah’, ‘mabuk melawan perkauman sempit’ atau ‘mabuk memperjuangkan hak rakyat’ dan ‘mabuk menyatukan semua kaum di negara ini’. Memang betul kami ‘mabuk’. Untuk mabuk itu kekanda tiada masalah siapa sahaja yang mahu ‘memabukkan’ kami demi prinsip dan ya, memang kami tak nampak yang lain melainkan itu, maka mabuklah kami dengannya.

Adinda,

Sudah kekanda kiaskan apa yang perlu, kerana adinda suka kiasan yang ramai tidak memahaminya. Kekanda cuba memahaminya sebagaimana kekanda cuba memahami orang yang mabuk bercinta. Dengan siapakah adinda Nik Abduh bercinta? sehingga kata adinda sukar difahami, rindu yang diungkap kepada kekanda, sebelumnya perkataan ‘keluar dari sini’ disemburkan. Dulunya dinyahkan, sudah keluar dikatakan pengkhianat ditambah pula dengan laknat. Mabuk apakah ini?

Kata dua bersemangat terhadap rakan kekanda supaya membuat keputusan sama ada mahu bersama dengan adinda atau tidak datang daripada suara orang yang mabuk agaknya, kenapa tidaknya? Bukankah rakan kekanda itu yang diberi kata dua telah sepakat dengan kekanda dan bukan dengan adinda? Adinda ada rakan lain yang telah diikat dengan Ikatan bukan? Bermain matakah adinda dengan rakan kekanda? Rakan kekanda yang memabukkan kekanda juga sepakat dengan orang yang adinda bermain mata dengannya.

Akhir kalam, mabuk ada bermacam mabuk, terima kasih kerana adinda berkias-kias tentang mabuk kerana indahnya bahasa kias, ia membuka makna yang luas. Kita semua mabuk kepada perjuangan, mabuk kepada Islam sebagai Rahmatan Lil ‘Alamin, dan ianya lebih baik daripada mabuk Melayu dan perjuangannya yang sempit. Mabuk Melayu ialah Melayu yang kerisnya diusung ke mana-mana apatah lagi keris panjang dibuat memotong pulut kuning, suaranya pula memaki hamun orang lain wa imma pada bangsanya sendiri. Mabuk Melayu ialah tak kenal pengkhianat sebenarnya dan siapa musuhnya.

Keris Melayu ber’amanah’ disimpan dan diasah untuk membela keadilan dan berdiri atas prinsip harga diri dan kemanusiaan. Kekanda juga anak Melayu, tak perlu bertanjak dan berhias keris. Melayu kekanda adalah diri kekanda, keris kekanda adalah prinsip kekanda, kekanda sanggup membela nusa dan bangsa biar diri tertikam asal tanah bertuah ini ada maruah, ada harga diri.

Sekian, semoga bertemu lagi di warkah yang lain dan kekanda mendoakan agar legasi ayahanda kita dapat diteruskan melalui jati diri kita sebagai rakyat Malaysia Muslim Melayu yang Amanah, Progresif dan Peduli. Sehingga sampai kita ke Pulau Impian kita.

Yang Benar

Mujahid Yusof Rawa

MUJAHID YUSOF RAWA anggota parlimen Parit Buntar dan naib presiden parti AMANAH.



PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP