Sunday 19 June 2016

ANALISIS: Makna Kemenangan BN



Berikut analisis segera keputusan pilihan raya Sungai Besar dan Kuala Kangsar:

(1) Pertembungan tiga penjuru tidak menguntungkan pembangkang di kedua-dua kawasan dan gagal membuka lebih peluang menyaingi BN. Malah ia menyebabkan pengundi bosan dengan kegagalan pembangkang bersepakat, sekali gus memberi undi pada BN atau tidak mengundi langsung.

(2) Kecelaruan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali yang berkempen untuk AMANAH tetapi berdoa untuk PAS membinggungkan pengundi. Jika trend ini berkekalan, besar kemungkinan BN akan merampas semula kerajaan negeri Selangor pada pilihan raya umum akan datang.

(3) PAS membuktikan ia masih menjadi pembangkang berpengaruh. Walaupun undinya lebih kurang sama dengan AMANAH, tidak semestinya parti serpihannya itu lebih kuat. Ini kerana AMANAH disokong oleh dua lagi parti berpengaruh iaitu DAP dan PKR tetapi PAS hanya bersekutu dengan sebuah parti kecil Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN).

(4) AMANAH tidak setanding PAS, DAP atau PKR. Meskipun mendapat jumlah undi yang dianggap memberangsangkan bagi parti yang hanya berusia lapan bulan, tetapi jangan lupa bahawa ia didokongi oleh DAP dan juga PKR.

(5) Hasrat Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menjadikan dua pilihan raya kecil ini sebagai referendum menolak pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak gagal. Walaupun pilihan raya kecil kebiasaannya lebih memihak parti kerajaan, Najib tetap dilihat semakin selesa walaupun diasak segenap penjuru dalam pelbagai isu.

(6) Seperti pilihan raya negeri Sarawak, trend pengundian menunjukkan BN mula mendapat sedikit demi sedikit undi masyarakat Cina. Lawannya AMANAH pula mampu memberi saingan di kawasan Cina manakala PAS pula sebaliknya.

(7) Walaupun dalam pelbagai kontroversi, daripada isu 1MDB, kemasukan wang berbilion ringgit ke dalam akaun Najib, sehinggalah penggunaan jet kerajaan oleh isteri perdana menteri, isu pembangunan yang dimainkan BN nampaknya masih memikat pengundi.

(8) Isu nasional kurang mendapat sambutan tetapi sebaliknya usaha BN membebaskan dua nelayan Sekinchan yang ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia jauh lebih dekat di hati pengundi. Walaupun dilabel sebagai pelampau dan anti-Cina, namun kejayaannya membawa pulang dua nelayan itu banyak menambat hati pengundi.



PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP